SERVER 38
Gua Grotte Bardtan, Fuego, HyperServ
Istana gah Raja Raa memukau pandangan bagi sesiapa sahaja yang memandangnya.Walaupun reka bentuknya agak menakutkan namun seni ukiran batu yang terdapat di dinding istana ternyata amat memukau.Tajima dan Zaidi tidak terlepas daripada hambatan kejutan itu.Mereka dibawa naik ke dalam istana tersebut selepas mendapat perkenan Raja Raa dan Runaan sendiri yang membawa mereka namun kedua-duanya masih tidak boleh bertemu dengan Raja Raa buat seketika berikutan Raja Raa ada urusan peribadi yang perlu diuruskan.Tajima dan Zaidi ditempatkan di dalam sebuah bilik yang agak mewah.Di dalam istana itu, terdapat beratus-ratus bilik dengan pelbagai fungsi.Bilik yang didiami oleh Tajima dan Zaidi kini merupakan salah satu daripada bilik tetamu bersaiz sedikit kecil berbanding bilik-bilik yang lain.
Tajima menghempaskan tubuhnya ke atas katil yang empuk dan lembut.Sudah agak lama dia tidak berasa selesa seperti itu.Sejak mereka terperangkap di dalam dunia Hyperserv ini, mereka masih belum sempat merasai nikmat beradu di atas katil dengan tilam yang empuk seperti ini.Malahan, saiz katil ini agak besar.Terasa matanya layu dan memberat.
Seluruh tubuh dan sendi terasa lenguh selepas mengharungi perjalanan yang teramat jauh dan pelbagai kejadian yang ditempuhi.Kesemuanya kemas diingatan.
“Tajima, kau tak rasa pelik ke?” Zaidi duduk bersila di atas lantai sambil menggosok belakang kepalanya.Tajima sekadar menoleh.
“Kau fikir, dalam perjalanan kita ke sini, kita di letakkan di dalam kurungan.Tapi sekarang...macam ada yang tak kena pula.” Zaidi meragui.Ada benarnya kata-kata Zaidi.Sepanjang menempuh perjalanan semenjak masuk ke dunia Valkazar ini, mereka hanya ditempatkan di dalam kurungan batu.Alasannya adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk mempercepatkan perjalanan.Setibanya di istana Raja Raa ini, mereka dibebaskan dari kurungan dan dibenarkan untuk mendiami bilik mewah seperti ini.Jika difikirkan, situasi mereka tidak ubah seperti tawanan secara tersirat.
“Alaaa..tak payah fikirlah.Sekarang ni, baik kita fikir macam mana untuk mendapatkan kekayaan sekali gus dengan kekuasaan dari Raja Raa.Itu yang kita kena fikir.” Tajima bingkas bangkit.Tampak bersemangat.Cuba merencanakan muslihat.
“Aku cuma hairan.Kau tak rasa ke ini macam....satu perangkap?” Zaidi lebih berpijak pada bumi yang nyata.Berpaksikan kepada realiti sedangkan hakikatnya dunia ini juga bukanlah sebahagian daripada realiti.
Tajima mengerahkan akal.Dahinya tampak berkerut.Kata-kata Zaidi umpama suluhan cahaya menerangi jalan yang gelap.Mata hatinya dibutakan dengan kekayaan dan kekuasaan yang dijanjikan oleh makhluk Valkazar.Lantas Tajima terfikir satu idea untuk memastikannya.Mungkin juga ianya satu idea yang agak kurang bernas namun memberi keyakinan kepada mereka.
“Zaidi, jom kita sembunyi-sembunyi keluar dari sini sekejap.” Tajima bingkas bangkit dari pembaringan.
“Kau nak lari?Nak lari ke mana?” Zaidi turut bangkit namun teragak-agak mahu mengikut kehendak Tajima.
“Bukan larilah. Kita keluar dari bilik ni.Lepas tu, kita buat intipan sikit.Mana tahu, boleh curi dengar perbualan makhluk-makhluk tu.Mesti mereka ada sembunyikan sesuatu daripada kita.” Seperti yang diduga.Idea Tajima agak kurang bernas namun memberikan hasil yang baik jika ianya berhasil dan seandainya mereka selamat.Jika nasib tidak menyebelahi, tiada siapa yang tahu nasib yang bakal menimpa mereka.Runaan telah memberi amaran untuk tidak keluar dari bilik itu sehingga diberitahu.
Mereka cuba menguak daun pintu bilik itu.Terasa agak berat untuk ditarik walaupun dikerahkan oleh dua orang lelaki.Mujurlah daun pintu bilik mereka tidak terkatup rapat.
Tajima dan Zaidi mengitari pandangan di sebelah luar bilik mereka.Koridor itu sepi tanpa satu pun pengawal yang mengawasi.Tajima tersenyum lega.Mereka meneruskan agenda mereka.Menapak perlahan di koridor atas.Sesekali Zaidi melangoi ke atas pandangan mencecah bumbung istana.Tingginya agak melampai.Tiang-tiang batu yang dijadikan pasak istana itu diukir dengan ukiran yang unik namun menyeramkan.Ada juga ukiran berbentuk seperti susuk tubuh bangsa Valkazar itu sendiri.Dan ada juga ukiran berbentuk kepala naga yang terpenggal.Suasana di dalam istana Raja Raa itu agak malap namun diterangi dengan cahaya api jamung yang tergantung di setiap tiang-tiang istana itu.
Mereka melintasi satu lukisan yang agak besar tergantung di dinding berhadapan dengan tangga batu untuk turun ke aras bawah.Zaidi mengamati lukisan itu.Ianya sebuah hasil lukisan yang memaparkan susuk tubuh bangsa Valkazar sedang menjulang pedang dengan tangan kirinya dan kaki kanannya memijak susuk tubuh yang lebih kecil.Jika diamati, susuk tubuh itu seperti susuk tubuh seorang manusia.Zaidi menelan liurnya lantas berlari anak ke arah Tajima yang sudah mendahului turun ke aras bawah.
Tajima yang sedang mengintai-intai dari balik palang-palang batu tangga itu hampir terjatuh kerana terkejut apabila Zaidi menerpa ke arahnya.Tajima mengepalkan genggaman tangannya sebagai isyarat marah kepada Zaidi.Lantas diisyaratkan untuk terus bergerak dalam senyap.Zaidi sekadar menggangguk sambil kepala tertoleh-toleh ke arah lukisan itu.Seolah-olah lukisan itu hidup dan sedang memandang ke arah mereka ketika ini namun ianya dianggap sebagai mainan perasaan yang sedang dilanda kegelisahan dan ketakutan.Tindakan mereka sebenarnya bakal memakan nyawa mereka sendiri jika tertangkap.Mereka mengingkari amaran Runaan.
Tajima terintai-intai ke aras bawah.Pengawal yang berkawal sekitar tiga hingga lima pengawal sahaja.Selebihnya, mereka berkawal diluar.Pada aras bilik pula tiada pengawal yang berkawal.Walaubagaimana pun, pengawal yang berkawal di dalam ruang legar istana ini kelihatan lebih bengis dan lebih sasa.Zaidi menelan liurnya.
Mereka menyelinap ke bahagian balik tiang istana yang membelakangkan dua orang pengawal.Kedengaran dua orang pengawal itu berbual sesama mereka.Reaksi wajah mereka kelihatan serius.Tajima berminat untuk mencuri dengar.
“Aku teringin nak tengok apa dalam bilik tu.Dapat masuk walaupun sekali dah cukup.” Salah satu pengawal yang memegang busur dan anak panah itu bersuara.
“Ohh..bilik khazanah.” Ringkas pengawal yang lebih kecil itu membidas.Dia sekadar memegang pedang di kiri dan kanan tangannya.
“Nama pun khazanah.Pasti banyak harta yang menimbun-nimbun disana.” Pengawal yang memegang busur panah kelihatan teruja.
“Bilik tu dikawal ketat.Walaupun berada di bawah tanah istana tetapi kawalannya rapi.Pintu biliknya sahaja diperbuat daripada emas.Inikan pula harta di dalamnya.Kalau macam itu, bukan sahaja datang dekat.Tengok pun kau boleh kena bunuh, tahu?” Pengawal bertubuh lebih kecil tergelak besar.
Tajima tersenyum.Dia bernekad untuk mencari bilik yang dimaksudkan oleh dua orang pengawal itu.Berhajat untuk melakukan kejahatan.Kejahatan itu sentiasa timbul di dalam hati yang hitam dan leka.Nafsu menguasai jiwa melebihi akalnya.Amaran Runaan sudah ternyata jelas namun tetap diingkari.Sengaja menyarung tali gantung ke lehernya sendiri.Kekayaan dan kekuasaan yang ditawarkan oleh Raja Raa masih belum pasti.Lantas mereka berpatah balik naik ke bilik mereka.Tajima merangka-rangka strategi.Cuba untuk menyelinap ke bilik timbunan harta yang dimaksudkan.Terbayang-bayang di tubir mata harta-harta yang menggunung.Dia akan jadi kaya-raya sedangkan mereka terlupa hakikat yang sebenarnya.Mereka berada di dunia digital sedangkan jasad sebenar mereka berada di dunia manusia.Terbaring lesu menunggu masa dipanggil pulang oleh Ilahi.Harta atau apa sahaja dari dunia ini tidak boleh dibawa keluar ke dunia manusia bahkan segala-gala yang wujud disini juga adalah aturan sistem sahaja.Secara dasarnya, ianya adalah susunan kod kompleks yang mewujudkan ilusi dan persekitaran di sini.Tiada yang realiti.
Mereka berjaya kembali ke bilik istirehat mereka.Daun pintu di katup semula.Zaidi duduk bersila di atas lantai.Termenung sendirian sedangkan Tajima berjalan mundar-mandir.Tampak seperti orang kegelisahan.Akalnya meligat.Menimbang tara sama ada mahu diteruskan juga niatnya atau sebaliknya.Setiap risiko diambil kira.Setiap kepentingan diri dikira-kira.
“Kau nak buat apa ni?” Zaidi mula rasa tidak selesa melihat Tajima berjalan mundar-mandir di hadapannya.
“Lewat sikit, kita ke bilik bawah tanah.Kita masuk ke dalam bilik timbunan harta itu.” Tajima beri kata putus.Hatinya nekad.
“Kau gila?Kau tak dengar makhluk tu tadi cakap apa? Bilik tu dikawal rapi.” Zaidi keresahan bukan kepalang.Dia sangat mengenali perangai Tajima.Jika dia mahu melakukan sesuatu, dia tetap akan lakukannya walau apa pun terjadi.Walaupun terpaksa bergadai nyawa.
“Kita ke sana dulu.Tengok keadaan.Jika ada peluang, kita boleh masuk.Jika tak ada, kita cari jalan.Pasti bilik itu berkunci.Pasti ada satu pengawal yang memegang kunci.” Tajima berkata-kata sambil kakinya melangkah berlegar-legar di dalam ruang bilik itu.Zaidi semakin resah.
“Kau memang dah gila, Tajima.Kau memang dah gila.” Zaidi menggelengkan kepala.
“Zaidi, kau bayangkan.Kalau kita dapat harta tu, kita jadi kaya raya!” Tajima cuba meyakinkan Zaidi.
“Habis, macam mana nak bawa keluar dari dunia ni?Macam mana nak bawa keluar ke dunia manusia?” Zaidi lebih matang dalam membuat keputusan.Berpaksi pada kenyataan.
“Tak payah.Bila kita dah dapat harta yang banyak, dunia ni kita punya.Kita sembunyikan di satu tempat dulu.Lepas tu, kita keluar dari sini buat sementara.Kita runtuhkan Hyperserv dari luar.Bunuh mereka-mereka yang menguasai Hyperserv. Apabila Hyperserv dapat ditawan, kita masuk semula ke sini.Kita bina empayar kita disini! Kita ada dunia sendiri! Ini kerajaan kita.!” Tajima berpandangan jauh.Merangka strategi yang kedengarannya boleh diterima akal.Meraih kekayaan sekali gus kekuasaan menguasai dunia ini.Zaidi kelihatan berfikir-fikir.Masih ragu-ragu.Situasi mereka kini juga masih tidak dapat menjamin keselamatan mereka.Mereka masih belum bertemu Raja Raa.Lantas, Tajima dan Zaidi berehat-rehat di dalam bilik istirehat mereka dengan angan masing-masing.Kekayaan, kemewahan dan kekuasaan mula terbayang-bayang.Angan-angan melangit tinggi mula terawang-awang.Hanya menunggu masa untuk direalisasikan.
Mata hati menjadi buta.Bak kata pepatah melayu, cinta itu buta.Cinta terhadap kekayaan duniawi juga mampu membutakan mata hati.Mengubah jiwa menjadi tamak.Kekayaan juga boleh menjadi punca perbalahan sesama manusia bahkan adik-beradik juga boleh bertelagah.Hanya kerana harta yang bersifat sementara sedangkan bekalan ke alam selepas mati itu adalah yang sebenar-benarnya.
Beberapa jam telah beranjak.Tajima membuat perkiraan kasar.Waktu ini dirasakan masa yang sesuai untuk melaksanakan agenda mereka.Zaidi hanya menurut sahaja.Tajima yang kelihatan beriya-iya dan bersemangat.Mereka berjalan pantas namun injakan kaki mereka senyap.Berjalan umpama bayang.Lalu sekelibat namun tidak kenampakan.Merentas umpama angin.Menderu halus namun ghaib tidak terpandang.Mereka menggunakan kemahiran mereka sepenuhnya untuk mengelakkan diri dari tertangkap.
Melintasi dari bilik ke bilik sehingga ruang bertukar ruang.Istana Raja Raa terasa seolah-olah telah diterokai sepenuhnya.Tajima mendahului perjalanan.Sesekali terlihat pengawal istana melakukan rondaan namun Tajima dan Zaidi bijak mengelak dan bersembunyi.Mereka menggunakan saiz tubuh mereka sebagai kelebihan.Tubuh bangsa Valkazar lebih besar berbanding manusia biasa.Oleh kerana itu, hampir kesemua perkakas dan peralatan di dalam istana ini selari dengan saiz tubuh mereka.Tajima dan Zaidi bersembunyi dari balik tiang istana.Mereka kini sudah berada di ruang kecil bersebelahan dengan ruang singgahsana Raja Raa.Mata Tajima tertancap pada satu tangga yang terarah turun ke aras bawah tanah.Dua orang pengawal berdiri tercegat di pintu masuk tangga itu.Tajima dan Zaidi berpandangan sesama sendiri.Nafas ditarik sedalam mungkin.Mereka hanya ada masa beberapa saat sahaja untuk melepasi kawalan itu.Bahkan, mereka perlu bergerak sepantas mungkin bagi mengelakkan diri dari dikesan.
Nasib menyebelahi mereka.Apabila pandangan dua orang pengawal itu teralih ke arah lain, dengan pantas Tajima dan Zaidi menyelinap masuk ke bahagian bawah tanah.Mereka menuruni anak tangga dengan pantas namun senyap.
Setiap langkah yang diatur penuh berhati-hati dan curiga.Detak jantung semakin pantas.Darah dipam sepantas mungkin menerjah ke seluruh urat sendi di dalam tubuh.Anak mata kedua-duanya menyelongkar seluruh isi ruangan.Laluan bawah tanah hanya diterangi dengan api jamung yang tergantung di dinding laluan bawah tanah itu namun jarak di antara satu jamung ke satu jamung yang lain agak jauh.Oleh sebab itu, suasananya agak kelam dan gelap terutama pada laluan yang tidak disinari api jamung.
Namun perkara itu semua tidak menggugahkan semangat Tajima.Kakinya tetap melangkah persis pahlawan.Gayanya seolah-olah mengetahui selok-belok laluan disini.Dia tidak membawa sebarang sumber cahaya bersamanya melainkan sebilah pisau belati yang terselit kemas pada celah pinggang.Sebagai langkah berjaga-jaga untuk situasi genting.Bukan mudah untuk membunuh makhluk Valkazar namun tidak salah untuk mencuba.
Langkah mereka terhenti.Mata masing-masing tertancap ke sebuah pintu gerbang yang agak besar.Permukaannya berkilau kekuningan.Pintu itu diperbuat daripada emas tulen.Zaidi menoleh kebelakang.Perasaannya menjadi seram sejuk.Bimbang jika diserang hendap.Berlainan pula dengan andaian Tajima.Dahinya berkerut.Perjalanan mereka ke sini terlalu mudah.Tiada satu pun pengawal yang berkawal di sepanjang laluan bawah tanah ini.Menambahkan lagi rasa curiganya, kelihatan satu benda bercahaya berkilauan pada lantai berhadapan pintu gerbang itu dan di sebelah kirinya terdapat tangga naik ke lubang kunci pintu itu.
Tajima mengamati benda berkilau itu.Ternyata ianya sebentuk kunci.Kedudukannya seolah-olah sengaja ditinggalkan untuk mereka.Malahan, tiada satu pun pengawal yang berada disitu.
“Tajima..aku peliklah.Satu pengawal pun tak ada ni.” Zaidi tertoleh-toleh kebelakang.Memerhatikan setiap penjuru.Tajima tidak membalas.Dia pantas ke hadapan mendapat kunci tersebut dan memanjat anak tangga yang naik ke atas menuju ke lubang kunci pada pintu itu.Zaidi menjadi kecut perut.
Kunci dimasukkan dan dipulas.Bunyi berdetak menandakan pintu telah terbuka.Perlahan-lahan, daun pintu gerbang itu terbuka perlahan-lahan sehingga menjadi ternganga luas.Tajima dan Zaidi menjengah ke dalam.
Membulat anak mata mereka berdua.Rupa-rupanya, bilik itu memiliki ruangan yang cukup besar membawa ke bawah tanah yang lebih dalam.Segunung harta, emas dan jongkong emas berada di merata-rata tempat.Kilauannya yang berkelip membutakan hati Tajima dan Zaidi.Perlahan-lahan mereka menapak masuk ke dalam meniti di atas sebuah jambatan batu mengunjur ke tengah.Mulut mereka ternganga.Kagum melihat longgokan emas sebanyak ini.Hati mereka menjadi semakin tamak.
Tanpa diduga, pintu gerbang itu tertutup semula.Dentuman pintu itu membuatkan mereka terkejut lantas menoleh ke belakang serentak.Tidak cukup dengan itu, satu kelibat bangsa Valkazar berada di belakang mereka sedang memerhatikan mereka dalam kesamaran cahaya api jamung.
Tajima dan Zaidi menelan liur.Sangkaannya mereka hanya bersendirian tanpa disedari mereka telah diekori oleh satu pengawal bangsa Valkazar.Sekadar merenung tajam.
[To be Continued >> Server 39]
ns 15.158.61.44da2