SERVER 34
TutField, Permukiman La Brecha, HyperServ
Perjalanan mereka diharungi dengan penuh hati-hati.Setiap langkah diatur dengan penuh debaran memandangkan mereka terdedah kepada sebarang marabahaya yang sentiasa mengintai mereka dari balik sembunyian.Meskipun perjalanan yang mereka tempuhi pada siang hari tidak didatangi dengan rintangan dan serangan hidupan disini namun perjalanan yang terasa jauh itu membuatkan mereka kehilangan tenaga yang cukup banyak terutama bagi Elizia.Kudrat seorang wanita tidak dapat disamakan dengan kudrat seorang lelaki.Sebagai seorang wanita, dia tidak terlepas dari keletihan ketika dalam perjalanan.Panahan mentari yang terik menambahkan lagi derita mereka saat berjalan merentasi perjalanan yang penuh berbatu.Elizia mengalami luka ringan pada buku lalinya kerana terjatuh ketika melompat dari batu ke batu.Oleh kerana itu, Leo yang bertindak sebagai penunjuk arah memperlahankan sedikit pergerakan mereka oleh kerana kecederaan yang dialami oleh Elizia sedikit sebanyak mengurangkan kepantasan mereka bergerak.
Malam menjengah lagi.Seperti malam sebelumnya, Leo dan Marshall bergegas mencari kayu api sebagai sumber unggun api untuk berdiang pada malam ini.Ia bagi mengelakkan setiap sendi pada tubuh dihambat kesejukan pada malam hari.Unggun api dinyalakan agak marak.Kayu yang digunakan agak tebal dan mampu bertahan lebih lama.
Kini, mereka sudah memasuki kawasan perhutanan.Baru berganjak masuk sekitar beberapa meter daripada sempadan yang memisahkan diantara gurun batu dan perhutanan ini.Unggun api marak menyala.Masing-masing duduk mendekati unggun api bagi menghangatkan tubuh namun keselamatan masih diutamakan.Senjata seperti tombak dan pisau dihasilkan oleh Leo dan Yazaid bagi mempertahankan diri masing-masing sekiranya keadaan menjadi genting dan saat kecemasan.Tumpuan keselamatan lebih diutamakan kepada Elizia memandangkan hanya dia sahaja golongan Hawa dikalangan mereka.
“Leo, jauh lagi ke perjalanan kita ke Mantra Bay tu?” Yazaid bertanya tanpa memandang ke arah Leo.Dia sibuk menguis-nguis kayu api yang marak menyala.Leo memandang sekilas dengan dahi yang berkerut.
“Letrai Bay lah.” Leo memperbetulkan nama destinasi mereka.
“Whatever.Jauh lagi ke? Rasa seharian kita berjalan.Pasti kita dah semakin hampir,kan?” Marshall mencelah.Ilyas sekadar menjadi pendengar setia.Leo yang duduk bersila gaya pendekar menjadi perhatian.
“Kalau diikutkan, kita dah memasuki kawasan jajahan Letrai Bay.Aku rasa, kita kena berjalan depan sedikit saja lagi.” Leo menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.Lagaknya seperti ragu-ragu.
“Kau jangan main-main, Leo.Perjalanan kita ni jauh lagi.Mana boleh rasa-rasa.Kau ni betul-betul ingat ke tak ni?” Marshall meninggikan nada suaranya sedikit.
“Aku membesar di Letrai Bay.Mana mungkin aku lupa jalan pulang.” Leo mengembangkan dadanya.
“Manalah tahu.Kalau manusia, manusia ni mudah lupa.Mudah lupa daratan.Tinggi sedikit, lupa untuk pandang ke bawah.” Yazaid pula mencelah dengan bait kata yang terselit unsur memerli namun lebih kepada peringatan buat dirinya agar tidak mudah lupa daratan dan melupai mereka yang banyak membantu.Lebih kepada muhasabah untuk dirinya tanpa ditujukan kepada sesiapa.
“Kau membesar di Letrai Bay?” Baru kali ini Ilyas bersuara.Leo tersengih sambil menganggukkan kepalanya.Yazaid tahu akan asal usul Leo.Sepanjang perjalanan mereka berdua, Leo banyak bercerita kepada Yazaid perihal tempat asalnya dan pertemuan di antara dia dan penduduk di Letrai Bay.
“Aku membesar disini.Berlatih disini dan kebanyakan aktiviti aku adalah disini.Penduduk Letrai Bay dikenali sebagai bangsa Letrazie.Mereka cukup hebat dan arif tentang ilmu lautan, galian, perubatan dan teknologi.Malahan, sebahagian daripada mereka juga adalah cendekiawan dan ilmuan.Mereka suka mencatatkan pelbagai peristiwa dan sejarah bangsa mereka.Mereka adalah golongan bangsa yang gemar memajukan bangsa mereka sendiri sekali gus membantu sesama mereka.Bukan seperti Valkazar.Bangsa yang menjatuhkan bangsa mereka sendiri sekali gus merampas hak bangsa lain.” Panjang lebar Leo bercerita perihal bangsa dimana dia menumpang teduh selama ini.
“Dan macam mana pula kau boleh berjumpa Yazaid?” Marshall ingin tahu.
“Aku keluar dari Letrai Bay apabila aku dapat tahu ada manusia yang masuk ke sini.Berita tu pun aku dapat dari salah seorang penduduk sini juga.Yang membuatkan aku pergi mencari Yazaid apabila aku tahu manusia yang masuk ke sini merupakan salah seorang pereka dunia Hyperserv.” Leo memandang sekilas pada Yazaid.Wajah Yazaid kelihatan menunduk.Jauh disudut hatinya, dia tidak layak untuk digelar pereka dunia ini memandang dia hanya menyambung usaha Prof Rayfall sahaja.Pereka asal dunia ini hanya ada seorang sahaja iaitu Prof Rayfall yang menghilangkan diri tanpa dapat dijejak.Tiada siapa yang tahu kemana lelaki genius itu menghilang.Dia hanya seorang anak didik Prof Rayfall sahaja.Dia, Fared dan Samsul sekadar kesinambungan sebuah legasi.Kini, hanya dia dan Fared sahaja yang menjadi tunjang belakang untuk terus menyambung legasi Rayfall memandang Samsul telah pergi meninggalkan mereka buat selamanya di dunia realiti.
“Oohh..jadi kau yang pergi cari Yazaid dan bantu dia?” Marshall menduga.
“Aku tahu tentang pencerobohan virus di dunia Hyperserv ni.Dalam masa yang sama, Yazaid dan kawannya ketika itu ada misi lain.Jadi, aku terpaksa bertahan dahulu sehingga tiba masa yang sesuai.” Leo menongkat tubuhnya ke belakang.Terasa lenguh duduk seperti itu.
“Eerrmm..masa tu seingat aku, kau mencari data Samsul yang hilang di dunia ni kan, Yazaid?” Leo cuba meraih ingatan ketika perjalanan mereka berdua meredah belantara.Yazaid juga tidak ketinggalan untuk menceritakan tujuannya masuk ke dunia ini kepada Leo memandangkan Leo banyak bercerita perihal dirinya.Terasa tidak adil jika dia merahsiakan tujuannya masuk ke dunia ini.Tambahan pula, Leo berasal dari dunia ini.Pasti dia boleh membantu memudahkan perjalanannya kelak.
Yazaid menganggukkan kepalanya perlahan.Dia tidak mahu mengingati saat pemergian sahabatnya itu.Terasa pedih yang menujah-nujah ke dalam hati.Rasa terkilan menguasai seluruh jiwa raganya.Dia tidak sempat bertemu dengan sahabatnya itu buat kali yang terakhir.Andai dapat diputarkan masa, cukup sekadar dapat melihat wajahnya sahaja.Itu sudah memadai.Yazaid terpunduk sepi.Leo memahami bahasa tubuh itu dan memutuskan untuk tidak bertanya lebih lanjut.
“Esok seawal pagi, kita berkemas.Jarak ke Letrai Bay sudah tidak jauh dari sini.” Leo meregangkan tubuhnya yang terasa lenguh akibat perjalanan yang jauh.Walaupun dia sudah sebati berjalan jauh namun sedikit sebanyak tubuhnya juga tidak terlepas dari terasa lenguh dan kepenatan.
Marshall dan Ilyas mencari tempat untuk tidur.Elizia tidak berganjak.Dia diarahkan untuk tidur berhampiran unggun api.Leo dan Yazaid seringkali tidur lewat dan kadangkala mereka berjaga malam secara bergilir.Untuk memastikan keselamatan mereka terjamin.Tambahan pula, Elizia merupakan satu-satunya kaum Hawa dalam perkumpulan mereka.Yazaid dan Elizia saling bertukar pandangan.Sesekali Elizia menguntum senyuman apabila pandangannya berselisih dengan Yazaid.Pandangan yang menyimpan seribu makna.Hatinya berbunga.Wajah Yazaid berubah merah padam apabila Elizia memandangnya sebegitu.Walaupun tanpa kata bicara namun maksud pada pandangan mereka amat mudah untuk difahami dan dimengertikan.Masing-masing memendam rasa cuma waktunya sahaja masih belum sesuai.Keadaan kini terlalu genting untuk membicarakan tentang soal hati.
Malam semakin beranjak.Unggas saling bersahutan.Yazaid masih lagi tidak mahu terlelap.Leo tidak kelihatan di kelompok itu.Begitulah saban malam.Setiap kali tiba masa untuk beradu, Leo pasti menghilang.Yazaid mengetahui bahawa Leo gemar tidur di atas dahan pokok atau berada di tempat yang tinggi.Saban tahun kelakuannya sebegitu menjadikannya sebagai rutin.Namun pada malam ini, Leo tidak kelihatan dimana-mana.
Yazaid memandang ke arah Elizia.Gadis itu masih kelihatan ayu walaupun di dalam tidur.Elizia sekadar mengalaskan tubuhnya dengan sehelai daun pokok yang bersaiz lebar dan sehelai lagi untuk dijadikan selimut yang membungkus tubuhnya.Tudungnya tidak pernah ditanggalkan memandangkan dia berada di kelompok lelaki yang bukan mahramnya.Auratnya masih terjaga.Tetap kelihatan ayu dan anggun.Wajahnya tanpa cela.Tidak berkerdip mata Yazaid memandang kecantikan wajah ayu milik Elizia.
Tidak semena-mena, Yazaid terkejut kerana terdengar bunyi sesuatu yang bergerak dari dalam semak belukar tidak jauh dari tempat mereka tidur.Yazaid bangkit bersiaga.Anak matanya melilau mencari kelibat Leo namun tidak dijumpai.Dahinya berkerut.
Yazaid tidak sempat berbuat apa-apa.Mereka diserang hendap.Musuh-musuh yang bersembunyi dari balik semak-samun memunculkan diri.Marshall dan Ilyas tersedar namun tidak sempat berbuat apa-apa.Salah seorang daripada musuh itu menerjah ke arah Marshall dan Ilyas.Yazaid terkedu.Tubuhnya seolah-olah mengeras dan tidak mampu untuk bertindak.Serang hendap ini berlaku dalam sekelip mata dan tanpa suara.Elizia ditangkap dengan mudah.Tubuhnya terikat dengan rantai besi bercahaya kebiruan.Marshall dan Ilyas juga begitu.Tubuh mereka juga turut diikat dengan rantai yang bercahaya kebiruan dan mulut mereka terkunci seperti digam.Segala-galanya berlaku dalam sekelip mata.Gerakan mereka pantas umpama angin dan gerakan bayang-bayang.Ekor mata manusia tidak mampu menangkap pergerakan mereka.
Salah seorang dari musuh berpaling ke arah Yazaid.Wajah musuhnya tidak kelihatan kerana mereka mengenakan topeng yang berwarna hitam.Yazaid cuba untuk bersembunyi ke dalam semak belukar.Mencari peluang untuk menyerang balas.Pergerakan mereka terlalu pantas menyukarkan Yazaid untuk menyerang mereka secara berdepan.
Langkah diatur pantas meredah semak belukar namun lariannya tidak jauh.Musuhnya lebih pantas memintas lariannya.Dalam sekelip mata, salah seorang musuh melompat dan mendarat di hadapan Yazaid.Diunjurkan telapak tangan kanannya dengan jari yang terkatup.Yazaid cemas.
Secara tiba-tiba, satu cahaya kebiruan memancar dari telapak tangan musuhnya dan libasan rantai bercahaya kebiruan tiba-tiba muncul di sekeliling tubuh Yazaid sekali gus mengikat tubuhnya.Mulutnya tiba-tiba sahaja terkunci dan terkatup rapat.Yazaid menyembah bumi.Tubuhnya umpama lumpuh.Untuk menggerakkan jari sahaja pun tidak berupaya.Lumpuh sama sekali.Tidak lama selepas itu, pandangannya semakin kabur.Perkara terakhir yang diingati ialah musuh yang berjaya menumbangkannya itu menghampirinya dan memikul ke atas pundak bahunya.Tubuhnya di kumpulkan bersama Elizia, Marshall dan Ilyas.Selebihnya, pandangannya terus hitam dan gelap.Mereka semua tidak sedarkan diri.Rantai bercahaya kebiruan itu umpama ubat bius yang menidurkan mangsa.
Malam semakin berganjak.Malam ini ternyata berbeza kerana dirasakan seolah-olah guliran waktu yang sangat perlahan.Terasa malam ini waktunya amat panjang.Hakikatnya, perjalanan waktu sama sahaja seperti malam-malam sebelumnya.Oleh kerana dibius oleh rantai bercahaya kebiruan, tubuh mangsa mengalami kekejangan otot sekali gus membejatkan pergerakan.Minda dikawal separuh sedar.
Yazaid terjaga.Pandangan matanya berpinar-pinar.Terasa seperti seluruh urat sendi direntap dan dipulas.Dia tidak dapat menggerakkan tubuhnya seolah-olah masih lagi dirantai namun posisi tubuhnya dirasakan berlainan.
Apabila akalnya sudah mencapai tahap kewarasan yang mencukupi, Yazaid cuba mengamati persekitaran sekeliling.Dia cuba melepaskan diri dari rantai bercahaya biru yang membelitnya ketika ini.Tubuhnya terasa memberat dan sukar untuk bergerak apatah lagi untuk melepaskan diri.
Membulat anak mata Yazaid apabila menyedari tubuhnya langsung tidak diikat dengan rantai bercahaya kebiruan itu lagi.Malahan, tubuhnya terbaring di atas sebuah katil tanpa satu ikatan pun.Secara logiknya, tubuhnya bebas untuk bergerak.Dia ditempatkan di dalam sebuah bilik.Suasana bilik itu seperti bilik tidur.Dinding diperbuat daripada batu-bata yang tidak disimen dan susunannya seperti susunan batu-bata biasa.Pencahayaan bilik itu juga bersumberkan sebuah pelita kaca yang digantung ke dinding batu itu dan sebuah tingkap kecil berkedudukan berhadapan dengan katilnya.
Yazaid cuba untuk bangkit namun gagal.Tubuhnya seolah-olah masih diikat dengan rantai kebiruan itu.Dia memandang ke luar tingkap.Suasana masih gelap namun kelihatan jalur cahaya kemerahan menandakan mentari mula terbit.Yazaid menggagahkan dirinya.Dia tetap berkeras untuk bangkit.Setelah berhempas-pulas, akhirnya dia berjaya duduk di bibir katil.Kakinya terjuntai ke bawah.Akalnya mula mengingati kejadian malam semalam ketika mereka diserang hendap.Jantungnya mengepam darah dalam kelajuan yang tinggi.Debak di dalam dadanya kembali berdebar.Dia teringatkan sahabat-sahabatnya yang tidak tahu akan nasib mereka ketika itu.Ketika dilonggokkan bersama Marshall, Ilyas dan Elizia malam semalam, dia tidak nampak kelibat Leo di dalam kelompok itu sebelum Yazaid tidak sedarkan diri.Mana mungkin Leo yang merancang semua ini.Mana mungkin Leo menjadi dalang dalam serangan hendap malam semalam.Mana mungkin Leo menjadi pengkhianat.Segala-galanya bercelaru membuatkan akal fikiran Yazaid berserabut.Kepalanya terasa berpinar.Pandangannya menjadi kelam dan kabur.Dia memicit-micit dahinya.
Pintu kayu bilik itu dibuka dari luar oleh seseorang.Yazaid semakin hilang kawalan.Kepalanya berpinar.Tubuhnya terasa tidak seimbang dan menyondong ke kanan.Buat sekian kalinya, dia tidak sedarkan diri lagi.Pandangannya kabur namun dia masih waras dalam mentafsir.Dia terlihat kelibat seseorang yang bertopeng masuk ke dalam bilik itu dan diikuti oleh seseorang yang amat dikenali susuk tubuhnya.Leo!
Leo sekadar tersenyum memandangnya dan berkata sesuatu dengan seseorang yang bertopeng itu.Namun, butiran perbualan mereka tidak dapat didengari oleh Yazaid memandangkan Yazaid semakin lemah.
Pelbagai andaian menyinggah sejenak pada fikiran Yazaid.Leo mengkhianati persahabatannya.Leo merancang semuanya.Perancangan yang agak rapi sehingga tidak menimbulkan syak wasangka.Permainan yang sangat baik sehingga berjaya mendapat kepercayaannya.Leo hanya menunggu waktu yang sesuai untuk melaksanakan perancangannya.Menunggu ketika mereka tidak bersiaga.
Nasib Marshall, Ilyas dan Elizia juga mungkin sepertinya.Dikurung di dalam bilik yang dianggap penjara.Baru Yazaid sedar, Leo juga merupakan salah satu daripada elemen dunia Hyperserv ini.Tidak mustahil baginya untuk mengkhianat dan menjatuhkan manusia biasa sepertinya yang ternyata dianggap penceroboh dan bukannya pencipta legasi dunia ini.Hakikatnya, tiada pencipta yang terbaik selain daripada-Nya.Hanya Tuhan Yang Maha Esa sebaik-baik pencipta.Dan sebaik-baik makhluk ciptaan-Nya adalah manusia.Manusia yang sering kali menjadi alpa dan melupakan-Nya sedangkan Dia tidak pernah melupakan hamba-Nya.Rahmat-Nya luas terbentang.
Pandangannya kembali kelam dan gelap.Yazaid tidak sedarkan diri.Dahinya berkeringat.Tampak wajahnya berkerut menandakan akalnya ligat berfikir ketika tidak sedarkan diri.Ternyata ianya satu penyeksaan jiwa yang teramat berat baginya.
[To be continued >> Server 35]
ns 15.158.61.17da2