SERVER 23
Pertemuan yang tidak dirancang dan tidak terduga.Zie muncul secara tiba-tiba di makmal Hyperserv ketika Irfan,Hadif, Elizia dan Ilyas sedang bermesyuarat.Ternyata ianya satu perkara yang tidak terduga terutama bagi Irfan.Nyawa sahabat mereka ternyata di dalam bahaya angkara hacker.
“Maaf,cik.Siapa cik? Bagaimana awak boleh masuk ke sini tanpa kebenaran?” Hadif berdiri menghadap Zie yang masih tercegat di muka pintu.
“Virus yang menyerang Hyperserv adalah kerja kami.Kami adalah hacker.” Lantang Zie bersuara dan secara terang-terangan mengakui kebenaran yang sememangnya benar tanpa berselindung lagi.Mungkin cuba untuk bermuslihat.Sengaja menimbulkan kekecohan.
Terasa bahang hingga ke kepala.Irfan pantas bangkit dan mencekak batang leher Zie lalu di tolak ke dinding.Tubuh kecil Zie terhempas ke dinding.Zie memegang lengan kanan Irfan yang mencekak lehernya.Terasa sesak pernafasan.
“Keparat kau! Kau tahu tak kawan-kawan aku dalam bahaya! Seorang kawan aku maut!Kau jadi punca! Kau yang patut mati!” Irfan hilang pertimbangan.
“Irfan! Bertenang!” Hadif meleraikan pergelutan.Jika dibiarkan mungkin memberi kesan lebih buruk kepada situasi.Wajah Irfan merah padam.Zie terbatuk-batuk ketika cengkaman dilehernya dilepaskan.Cuba mengambil nafas sebanyak yang mungkin.
“Apa tujuan kau ke sini?Tak cukup dengan apa yang kau lakukan?” Hadif mengambil tempat Irfan untuk mengelakkan pergaduhan berlaku lagi.Dia amat memahami jika Irfan mengamuk.Irfan sahabat lama kepada Yazaid.Sahabat Yazaid juga adalah sahabatnya.Pemergian Samsul bukanlah satu perkara yang dapat diterima semudah itu.Ia akan memakan masa dan kini Zie pula muncul mengaku sebagai hacker dan virus yang melanda ketika ini adalah berpunca daripada tindakannya.Memang sengaja mencari maut.
“Sabar.Biar saya jelaskan.” Zie menyusun bait bicara perlahan-lahan apabila pernafasannya mula sembuh.Semua anak mata tertancap kepadanya.
“Kawan saya dalam bahaya.Kita semua dalam bahaya.” Zie cuba untuk menerangkan situasi semasa.
“Kawan kau dalam bahaya, itu masalah kau.Jangan babitkan kami!Itu hal kau!” Irfan membentak.Hadif menahan Irfan daripada hilang pertimbangan.Elizia membengiskan wajah.Nyawa Yazaid dalam bahaya angkara kumpulan gadis itu.
“Bukan itu yang saya maksudkan.Kawan saya.Mereka hilang dalam talian.Salah seorang daripada mereka ada memiliki batu Valkarie.Lokasi terakhir mereka di Grotte Bardtan.” Zie menyeka keringat di dahinya.
“Grotte Bardtan?? Batu Valkarie??” Secara tiba-tiba Ilyas bangkit.Suaranya separuh meraung.Merenung tepat ke arah Zie.Irfan juga tercengang.Akalnya memikirkan sesuatu.
“Ya.Dunia kita dalam bahaya.Saya tahu, kami banyak buat salah.Tapi kali ini,tolonglah.Demi kelangsungan hidup manusia.Saya sendiri datang merayu dan membantu.” Ternyata tindakan Zie bertentangan dengan matlamat asal kumpulan Blackserv.Niat asal mereka untuk memusnahkan Hyperserv ternyata tidak membuahkan sebarang hasil.Bencana yang lebih besar bakal melanda sekiranya tidak dibendung.Zie benar-benar ikhlas kali ini.
Lantas Ilyas bergerak pantas menuju ke bahagian makmal.Tindakan seterusnya perlu dijalankan segera.Beg bimbitnya dibawa bersama menuju ke sebuah bilik lain.Hadif mengekori Ilyas.Hanya Elizia, Zie dan Irfan sahaja yang tinggal di bilik mesyuarat.Masing-masing melayan dilema sendiri.
“Apa yang berlaku? Apa tu Grotte Bardtan? Batu Valkarie?” Ternyata Elizia tidak mengetahui butirannya secara terperinci.Irfan memandang Zie tanpa dikendurkan bengis wajahnya.Hatinya masih membengkak.
Permukiman Fuego,HyperServ
Perhutanan ini seperti kebiasaan.Saban hari saban malam tetap sebegitu.Malam ini terasa bahang.Unggas dan cengkerik saling bersahutan antara satu sama lain isyarat komunikasi yang tidak difahami oleh manusia.Kelihatan samar-samar cahaya api jamung muncul dari balik semak belukar.
Leo berdiri tercegat berhadapan tapak Batu Prasasti Dunia.Batu itu sudah tiada di tempatnya.Cahaya api jamung menerangi kawasan itu dalam keadaan berbalam-balam namun masih boleh diamati dengan mata kasar.Leo kelihatan mengerutkan wajah.Tanda berfikir tentang sesuatu.Dia mengetahui Batu Prasasti Dunia itu sudah tiada lagi ketika sambaran cahaya kemerahan menyambar tubuhnya tempoh hari.
Yazaid pula muncul dari belakang sambil tangan kanannya menggenggam sebatang api jamung.Kepalanya masih terasa berat akibat hentakan yang kuat dari Leo menyebabkan dia pengsan dan tidak sedarkan diri.Apabila ditanya, Leo berdalih.Leo mengatakan bahawa Yazaid terhantuk pada batang kayu pokok ketika sedang bertempur sedangkan hakikatnya Leo yang menghentak belakang batang leher Yazaid untuk menghentikan pergelutan yang sia-sia.Lebih baik menyimpan tenaga daripada hilang nyawa.
“Leo, sini tempat Batu Prasasti Dunia tu kan? Mana batunya?” Yazaid memandang sekeliling.Mencari-cari kedudukan batu prasasti secara tepat memandangkan keadaan gelap malam membataskan penglihatan.Hanya berpandukan daripada cahaya api jamung yang dipegang oleh mereka.Leo tidak lekas menjawab.Anak matanya tertancap pada kesan Batu Prasasti Dunia.
“Leo, kau dengar tak aku tanya ni? Mana batunya?” Yazaid menghampiri Leo apabila pertanyaannya tidak berjawab.
“Leo..kau kenapa ni?” Yazaid memandang Leo yang kelihatan termenung umpama sang pungguk merenung rembulan.Rindu yang terpendam dibiarkan berlalu umpama dibawa angin malar.
“Yazaid..Kalau aku beritahu kau, aku harap kau boleh terima dengan hati yang terbuka,ok?” Leo melafazkan bait kata tertahan-tahan di rengkongan.Dia tahu sekiranya Yazaid mengetahui perkara ini, pastinya sahabatnya itu sukar untuk menerima kenyataan.
“Apa dia? Kau ni janganlah buat aku cuak.” Yazaid memandang tepat ke arah Leo.Terasa debar di dalam rusuk kiri berdentam-dentum.
“Kawan kau, Samsul...” Leo terhenti daripada meneruskan kata-katanya.Yazaid menunggu bait bicara seterusnya.Dahinya berkerut.
“Samsul..dah tak ada.” Leo memandang sekilas pada Yazaid.
“Eh kau ni.Janganlah pandai-pandai.Sekarang ni Batu Prasasti Dunia yang dah tak ada kat tempatnya.Data Samsul masih perlu dicari.” Yazaid membetulkan kenyataan realiti sedangkan dia tidak mengetahui tentang realiti semasa ketika itu.
“Bukan tu maksud aku.” Leo memandang semula ke arah tapak batu prasasti itu.Dia mengambil nafas sedalamnya.Dia tahu sukar untuk Yazaid menerima kenyataan bahawa sahabatnya itu sudah tidak bernyawa lagi di dunia sebelah sana.
“Samsul..betul-betul dah tak ada.Di dunia kau di sebelah sana.Dia dah tak bernyawa.Hanya datanya sahaja yang wujud di sini.Seluruh datanya, ada disini.” Leo menunjukkan jari telunjuk kanannya ke dada.Mengisyaratkan bahawa data Samsul wujud di dalam dirinya.
Yazaid kehilangan kata-kata.Anak matanya terbuntang.Menelan liur yang terasa pahit dan seolah-olah kerongkong tidak mengizinkan.Nafasnya menjadi terbejat.Dunia seolah-olah berhenti berputar buat seketika.Dirasakan segala usahanya mencari data sahabat baiknya menjadi sia-sia.Lebih baik ditutup sahaja projek Hyperserv ini dari awal lagi.Itu yang berlegar difikirannya ketika ini.
“Kau...kau tak...main-main..kan?” Nafasnya tertahan-tahan.Terasa basah di kelopak mata.Bergenang di takungan anak mata.Sahabat seperjuangan yang pergi dahulu sebelumnya.Bersahabat sejak dari zaman remaja membawa ke akhir hayat.Talian silaturrahim yang tidak akan pernah terputus.
Leo menggelengkan kepala tanda dia berkata benar.Itulah hakikatnya.Buat seketika Yazaid terasa nyilu mencucuk-cucuk di ulu hati.Terasa pedih.Dia melangoi memandang ke dada langit.Gelap dan gelita.Hanya taburan bintang-bintang yang menyemarakkan suasana.Dia tahu apa yang dilihatnya sekarang hanyalah sebagai sebuah program namun situasinya seperti dunia realiti.Yazaid tertewas juga.Berjujuran air mata membasahi pipinya.Air mata seorang lelaki terlalu mahal untuk dipertontonkan.
Leo menapak perlahan ke arah tapak batu prasasti dan duduk bersimpuh gaya pendekar di bahagian sisi tapak itu.Dia sekadar merenung.Dia tidak mahu mengganggu emosi Yazaid yang berkecamuk ketika ini.Dibiarkan melayani emosinya sendiri.Hujan yang selebat mana pun pasti akan bertemu mentari yang akan kembali menyinar.
Sempadan permukiman Viento dan Fin Del Mundo, HyperServ
Fared memandang ke arah bawah.Jurang dalam yang terlalu dalam sehingga tidak menampakkan dasarnya.Dia memandang ke arah tebing di sebelah sana.Jauhnya beberapa meter.Mustahil untuk dilintasi tanpa menggunakan apa-apa peralatan.Dia memandang sekilas kiri dan kanan.Kelihatan hutan belantara mengelilingi kedua-dua belah.Jurang dalam ini merupakan sempadan bagi dua daerah.Mereka berada di sebelah Viento dan tanah di sebelah sana adalah daerah Fin Del Mundo.
‘Cari sebuah pondok batu di kaki pergunungan Fin Del Mundo.Cari Master Orb yang terletak di bawah tanah.’ Terngiang-ngiang pesanan Samsul ketika pertemuan terakhir mereka tempoh hari.Pemergian sahabat baiknya membawa kepada satu misi yang lain.Mereka hanya perlu terus menuju ke lokasi yang telah diberitahu.Dia yakin, lelaki bernama Leo yang dimaksudkan oleh Samsul sudah berada disana menantikan kehadiran mereka.Semangat juang yang dipacu atas paksi memusnahkan penceroboh dan virus semakin marak terbakar.Angkara mereka, sahabat baiknya menjadi pertaruhan nyawa sedangkan dirinya sendiri yang meletakkan sahabat baiknya itu sebagai subjek uji kaji ke atas manusia pertama untuk masuk ke dunia buas ini.Dia juga perlu membuang ego yang ada pada dirinya sendiri.Mahu atau tidak, dia perlu mencari Yazaid untuk meneruskan misi menyelamatkan Hyperserv daripada musnah.Hakikatnya mereka saling memerlukan.
“Macam mana kita nak lintas ke sana?” Satu suara menyapa dari belakang.Fared menoleh sekilas ke kiri.Ismail dan Kirin menghampiri bersama api jamung masing-masing.Ismail kini kelihatan lebih berani dan berkeyakinan daripada sebelumnya.
“Entahlah.Tanah disebelah sana terlalu jauh.Tak tergapai.” Fared mengerahkan akalnya untuk bekerja.Kegelapan malam membataskan pergerakan dan penglihatan mereka.Tidak banyak yang boleh mereka lakukan.Jalan selamat harus dipilih.
“Kita berdiang disini dahulu.Esok apabila matahari terbit, kita ikhtiar.” Fared berkalih ke belakang dan mendapatkan kayu api yang diikat menggunakan akar dari dahan pokok dijadikan tali.Ismail dan Kirin tidak banyak meningkah melainkan hanya mengikut arahan.Fared banyak memainkan peranan sebagai ketua di kalangan mereka.Ternyata dibawah pimpinan Fared, mereka terasa lebih selamat dan terlindung dari ancaman bahaya.
Unggun api dibuat untuk memanaskan badan.Permukiman Viento yang sentiasa berangin dan dingin membuatkan mereka menggigil kesejukan sepanjang perjalanan mereka menempuh belantara dalam kegelapan malam.Senjata tidak sekali-kali dilepaskan memandangkan haiwan berburu waktu malam lebih agresif dan buas.Oleh kerana mereka memiliki api jamung, haiwan agresif waktu malam tidak berani untuk mendekat.Hanya sekadar mengintai dari sebalik persembunyian menunggu peluang keemasan.
Kirin lebih rapat dengan Ismail.Fared gemar menyendiri selepas pemergian Samsul.Dia banyak termenung daripada berkata-kata.Kelihatan seperti sang kekasih kehilangan yang tersayang.Persahabatan yang kian lama dibina lesap dalam sekelip mata.Pencarian yang sia-sia mula bersarang di dalam hati namun segera diusir keluar.Misi kali ini lebih penting bahkan ianya juga adalah amanat daripada sahabatnya yang telah kehilangan nyawa di dunia sebelah sana.
“Ismail, kenapa Fared nampak murung sangat?” Kirin menguis lengan kiri Ismail.Bertanyakan soalan naif.
Ismail menarik nafas sedalamnya. “Apabila kita kehilangan seseorang atau kehilangan sahabat baik buat selamanya.Bukan mudah untuk menghadapi realiti.”
Kirin melemparkan pandangan ke arah Fared yang berdiri memandang ke arah tanah di seberang sana.Mungkin memikirkan ikhtiar yang boleh dilakukan keesokan harinya.
“Fared orang yang professional.Dia tidak melibatkan peribadi dalam urusan kita.Dia banyak mendiamkan diri dan memendam seorang diri.Tidak menampakkan apa yang terbuku dihati.” Kirin berbicara sendiri namun didengari oleh Ismail.
“Kalau macam tu, apa yang terbuku dihati awak tentang saya?” Ismail berkata tanpa memandang ke arah gadis itu.Terasa tebal wajahnya.Kirin menoleh sekilas pada Ismail.Raut wajahnya merah padam apabila Ismail berkata sedemikian rupa.Ternyata Ismail ada menaruh perasaan kepada Kirin sedangkan hakikatnya mereka pasti tidak dapat bersama.
“Awak ni, Ismail.Dalam keadaan macam ni pun sempat bergurau.” Kirin melontarkan pandangan kemana-mana arah.Mengelakkan wajahnya dipandang oleh Ismail.Terasa hangat merauti wajah ayunya.Dia juga seperti itu.Walaupun dia adalah sebahagian daripada program dunia ini namun sifat dan sikapnya menyerupai manusia biasa.Manusia biasa dan program adalah dua perkara yang berbeza umpama langit dan bumi.Saling berhadapan namun tidak mencecah.Saling memerlukan namun tidak bersatu.
“Kita berehat dahulu.Kumpul tenaga.Esok kita akan tempuh perjalanan yang agak jauh.Kau, Ismail.” Fared berjalan bersebelahan mereka dan menudingkan jari telunjuknya ke arah Ismail.Ismail terkejut dan ternganga.
“Kau tidur jangan rapat sangat dengan Kirin.Jadi apa-apa, siap kau.” Fared cuba berseloroh.Dia cuba tersenyum menyakat dua merpati sejoli.Cuba meredakan ketegangan situasi di antara mereka.Ismail dan Kirin terdiam.Terbit rona merah pada garis-garis wajah mereka.Tanpa Ismail dan Kirin sedar, ada beberapa pasang mata ghaib yang memerhatikan gerak-geri mereka dari sebalik belukar.Fared menyedarinya.Kerana itu dia tidak mahu tidur pada malam ini.Sentiasa berjaga dan bersiaga.Menjaga unggun api supaya tidak terpadam sebelum waktunya.Haiwan yang berburu pada waktu malam takut pada api.Oleh kerana itu mereka masih selamat buat ketika ini selagi api pada unggun masih marak menyala.
>>Bersambung [Server 24]
ns 15.158.61.44da2