Letrai Bay, La Brecha, HyperServ
Perkampungan ini jika dilihat dari mata kasar memang kelihatan seperti tiada apa yang menarik tentang perkampungan ini tetapi ianya menyimpan seribu satu rahsia di sebalik nama Letrai Bay.Ianya bukan satu perkampungan biasa.Keluasannya memenuhi teluk Letrai Bay yang sangat maju dari segi peradabannya termasuk kemajuan di dalam bidang-bidang spesifik masing-masing.Ada yang mahir dalam pertukangan, perubatan, pembinaan, ekonomi setempat, pertahanan keselamatan, perairan dan sumber laut dan lain-lain.Bangsa Letrazie ini terkenal dengan kemajuan peradaban mereka.
Yazaid merenung dada langit yang gelap gelita.Hanya dihiasi taburan bintang-bintang dan kelihatan dua bulan menerangi seluruh pelusuk dada langit sekali gus membiaskan cahaya menyimbah ke bumi.Kelihatan sangat tenang dan mendamaikan namun ianya tidak melambang hati Yazaid kala ini.
Hatinya menjadi gelisah dan membentak-bentak sejak pertarungan persahabatannya dengan Elsa siang tadi.Dahinya berkerut seribu mengenangkan kekalahannya pada seorang gadis bernama Elsa.Egonya tercalar.
Meskipun tindakan egonya sendiri yang menjadi punca perkelahian itu namun egonya tetap tidak mengakui.Dia tetap menyalahkan pasukan Elsa yang menyerang hendap perkumpulannya ketika mereka hampir dengan kawasan jajahan Letrai Bay pada malam itu.
Imbauan ingatan berbalam-balam menari di layar mindanya.Mengingati saat-saat pertempurannya dengan Elsa siang tadi.Hatinya membentak-bentak tidak puas hati.Mengingati semula saat itu ternyata menyemarakkan lagi rasa dendam dan amarah.
Imbas kembali...
Lonjakan kaki kanan Yazaid menolak tubuh terawang ke udara menerpa ke arah Elsa.Wajahnya membengis.Bersedia untuk menetak tubuh lawannya.Kilauan mata pedang itu ternyata menyilaukan pandangan.Sorak sorai penduduk bergemuruh.Tetakan membelah angin.Geseran besi dan angin mengeluarkan bunyi yang berdesing.Ternyata gerakan Yazaid juga bukan calang-calang.
Elsa hanya sekadar mengelak ke tepi apabila tetakan pedang Yazaid menghampiri bahagian kepalanya.Pedang Yazaid membelah angin dan menetak tanah.Debu tanah berselerakan dan terawang di udara.Bunyi dentuman kedengaran.
“Lembab!” Sepantas kilat, Yazaid melibas mata pedangnya membelah ke kanan.Dia dapat melihat kelibat susuk tubuh Elsa dari ekor matanya namun apabila mata pedangnya mencecah kelibat tubuh Elsa, ia menghilang.Belahan mata pedangnya membelah angin buat kali kedua.
Apabila debu tanah yang bertebaran itu semakin menghilang, Elsa tidak berada di hadapan matanya.Yazaid curiga.Baru sesaat lepas dia melihat kelibat Elsa di sebalik debu-debu tanah yang terawang di sebelah kanannya.
Anak telinganya menangkap bunyi pertembungan angin dari belakang.Sekilas Yazaid menoleh kebelakang, Elsa sudah berada di belakangnya dalam sekelip mata.Yazaid menjarakkan diri dengan gadis itu.Wajah Elsa kelihatan tenang namun tegas.
Tanpa berlengah, Yazaid melonjakkan tubuh dengan pedang terhunus ke hadapan.Cuba untuk merodok batang tubuh Elsa namun tubuh Elsa seperti melayang ke udara.Gadis itu melonjak ke atas melepasi paras kepala lalu tendangan kakinya tepat ke belakang kepala Yazaid.Kali ini, Yazaid terhempas ke tanah dan terseret ke hadapan.Elsa mendarat dengan kemas dan memandang sekilas ke arah Yazaid.
Yazaid mula menyinga.Bajunya penuh dengan kotoran debu.Wajahnya berdarah.Sorak-sorai penduduk semakin bergemuruh.Tanpa menunggu masa lebih lama, Yazaid bangkit semula.
Libasan dan cantasan pedang Yazaid langsung tidak mengena sasaran.Meskipun gerakkan Yazaid cukup pantas namun Elsa mampu mengelak dengan tangkas.Setiap serangannya hanya dielak tanpa membalas.Membiarkan mata pedang membelah angin.
Apabila pedang Yazaid terhunus ke hadapan, Elsa mengelak ke kanan.Yazaid melihat peluang keemasan.Yazaid mengilas tubuhnya lalu satu tendangan padu hinggap pada perut Elsa.Batang tubuh Elsa terpelanting ke belakang beberapa kaki.Wajah Elsa berkerut menahan senak.Dia terleka buat sesaat membuka ruang untuk Yazaid menyerang.Melihat keadaan yang menyebelahi Yazaid, pantas lelaki itu membuat serangan bertalu-talu.Elsa mencuba sedaya-upayanya untuk mengelak cantasan maut Yazaid.Ternyata lelaki itu seperti kerasukan yang kehausan darah.
Secara tiba-tiba, Yazaid melakukan putaran cantasan pedang.Satu cantasan mengena pada tubuh Elsa lalu gadis itu melompat tinggi melepasi paras kepala menjauhi lelaki yang dianggap merbahaya itu.Darah mengalir pada bahagian atas perut Elsa.Cantasan itu merobekkan kulitnya.Terasa pedih yang menyengat-nyegat.Elsa menderam kemarahan.Pertarungan persahabatan ini tidak ubah seperti pertarungan maut. Elsa memandang sekilas pada Kapten Zayyan.Kelihatan Kapten Zayyan menggangguk kepalanya sedikit.Elsa kembali memandang ke arah Yazaid yang sudah bersiaga dan melancarkan serangan seterusnya dengan pedang terhunus.Kesan darah kelihatan bertompok pada mata pedang Yazaid.
Sepantas kilat, Elsa melunjurkan telapak tangan kanannya dan tangan kirinya memegang bahagian siku tangan kanan.Kaki kanan diampu kebelakang menongkat tubuh.
“System Call! Fluctus Tormento!!” Elsa menyebut satu baris ayat.Yazaid tidak berhenti menyergah.
Tanpa diduga, telapak tangannya yang dilunjurkan itu berdentum mengeluarkan satu gelombang kuat umpama perlancaran peluru berpandu yang ghaib.Ianya tidak kelihatan.Tanah tempat Elsa berpijak itu bergegar dan menerbangkan debu-debu tanah ke udara dan terawangan.
Yazaid terpelanting jauh ke belakang sehingga ke dinding batu gelanggang itu.Tubuhnya seolah-olah dihentak dan dilambung sekuat hati oleh sesuatu yang bersifat ghaib.Darah terhambur keluar dari mulut Yazaid.Terasa pedih di ulu hati dan senak pada bahagian perut.Pedang Yazaid terlepas dari genggaman.Yazaid menahan kesakitan yang teramat.Pedihnya mencucuk-cucuk setiap urat sendi.Keringat berjujuran di dahi.
“Kau bangsat! Dasar keturunan penakut! Hanya tahu mengelak tetapi tak tahu menyerang!Kau memang penakut, perempuan!” Yazaid menghamburkan rasa tidak puas hatinya.Jiwanya terbakar dengan amarah yang membuak-buak.
Elizia, Marshall dan Ilyas terkedu.Serangan dari Elsa langsung tidak kelihatan.Hanya bunyi dentuman sahaja namun batang tubuh Yazaid terpelanting jauh ke belakang seolah-olah dihambat sesuatu.Namun, Leo dan Tyrel kelihatan bersahaja.Dia mengetahui tentang serangan itu.
“Wow...apa benda tu?” Ilyas bertanya.Marshall kelihatan terkedu.Dia tidak pernah melihat serangan aneh seperti itu.
“System Call.Teknik serangan tanpa menggunakan tenaga fizikal tetapi menggunakan arahan kepada data dari sistem dunia ini sendiri.Atau lebih kata mudah, memberi arahan kepada elemen digital membentuk satu serangan.Sistem serangan menggunakan command.” Ringkas Tyrel memberi penerangan.Marshall dan Ilyas membuntangkan anak mata tidak mempercayai apa yang dilihat.
“Benda macam tu wujud di dunia ni?” Marshall semakin bingung.Ilyas kelihatan seperti berfikir-fikir.
“Bukan semua orang dikalangan kami mampu lakukan teknik system call.Salah seorang yang hebat mampu lakukan teknik itu adalah Elsa.” Tyrel mengulas lanjut mengagumi kehebatan teknik tempur Elsa.
Yazaid bangkit berdiri lantas mencapai pedangnya semula lalu menyerang balas semula ke arah Elsa.Serangan putaran cantasan pedang dilakukan.Elsa mengelak dari serangan yang bertalu-talu itu namun pergerakan Yazaid umpama bayang.Cantasan mata pedangnya kelihatan berpecah-pecah kepada banyak bahagian umpama biasan bayangan.Ia sebenarnya ilusi optik yang berbentuk fizikal akibat pergerakan pedang yang terlalu pantas namun mampu membelah tubuh mangsa.
Elsa gagal mengelak pada satu lagi cantasan pedang Yazaid.Sekali lagi tubuhnya dirobek pada bahagian lengan kiri.Darah mengalir lagi.Elsa menderam-deram kemarahan.Kedengaran berdengung-dengung direngkongan.Tanda amarah mula menguasai jiwa.Yazaid tidak menghentikan serangan.Putaran cantasan pedang terus-menerus dilancarkan mengejar mangsanya.
Elsa mengangkat tangan kanannya ke udara dan tangan kirinya memegang pergelangan tangan kanan.Kedua-dua kakinya dikukuhkan kedudukan ‘kuda-kuda’nya.
“System Call! Fulgur Tormento!!” Lalu Elsa melekapkan telapak tangan kanannya ke tanah.Yazaid mengesan perbuatan Elsa yang agak aneh.Pantas akalnya mengingati teknik yang dilakukan oleh Elsa di dalam serangan terakhirnya tadi.Ianya pasti akan memberikan hasil serangan yang sangat mengerikan.
Seperti yang diduga, pasti serangan ‘jampi serapah’ Elsa akan menerjah dirinya.Secara tiba-tiba, sambaran petir yang berdentum-dentum menyasar ke arah Yazaid.Kawasan sekeliling gelanggang itu bergetaran.Tanah pada kawasan gelanggang kelihatan bertompok kehitaman di panah petir yang datang entah dari mana.Yazaid mengelak tujuhan panahan petir dengan tangkas namun serpihan ekor petir itu mengena pada batang tubuhnya.Lelaki itu terpelanting ke hadapan buat sekian kalinya.Tubuh Yazaid terseret di tanah dan berhenti beberapa kaki dari Elsa.Yazaid mengerling pandangan pada Elsa.Dia tidak menunggu lama.Lantas Yazaid melibaskan tubuhnya menendang kaki Elsa.
Elsa terjatuh terlentang.Gadis itu mengerang kesakitan akibat serangan Yazaid yang tidak terduga.Pantas Yazaid mengangkat pedang melepasi paras kepala dan menyasarkan bahagian jantung gadis itu.Elsa dapat membaca gerak regunya lalu berguling mengelak ke tepi.
“Mati kau!!” Cantasan pedang Yazaid terlalu pantas.Elsa sempat mengelak namun tidak cukup pantas.Mata pedangnya merobek kulit belakang dada Elsa.Kini, Elsa luka parah berbanding Yazaid.Gadis itu bingkas berdiri.Matanya merah menyala.Memberi simbolik hatinya yang sedang bergelora membadai pantai jiwanya.Maraknya api memusnahkan kewibawaan.Yazaid melonjak ke hadapan untuk mencantas lagi.Kali ini, nyawa Elsa pasti akan terpisah dari jasad.Hati dan jiwanya terbakar dengan api amarah yang sukar dibendung.Dia hilang kawalan diri. Hilang pertimbangan.
Elsa bijak mengelak lalu menyelinap kebelakang Yazaid.Lengan Yazaid yang memegang pedang dipulas sehingga terkehel.Sendinya teralih.Yazaid mengerang kesakitan.Tanpa banyak bicara, dagu Yazaid ditarik dari belakang dan dihumban ke tanah.Yazaid berkeadaan terlentang.Tidak cukup itu, satu tujahan tendangan tepat mengena pada dada Yazaid.Darah berhamburan keluar dari mulut Yazaid.Bajunya bertompok kemerahan.Elsa merenung tajam.Matanya terbayang api yang marak membara.
Elsa mengepal genggaman tangan kanannya sambil kakinya memijak leher Yazaid.Tubuhnya seakan terbejat.Tidak mampu bergerak walaupun seinci.Pernafasannya terganggu.Terasa tersekat dikerongkong.
“System Call! Occiditis Inimicus!!” Kepalan genggaman Elsa mengeluarkan cahaya kemerahan lalu dilepaskan ke dada Yazaid.Mata Elsa merah menyala.Yazaid menahan nafas.Terasa nyawa hampir meninggalkan jasad tubuhnya.
Dentuman gergasi menggegarkan tanah tempat Yazaid terbaring.Debu-debu tanah menghalang pandangan.Sorak sorai penduduk menjadi sepi.Kelibat Elsa di sebalik debu-debu tanah itu kelihatan seperti kemengahan.Dia berjaya membunuh seorang nyawa manusia yang mencabar dirinya di dalam petarungan maut ini.Ternyata ianya satu tindakan yang meragut nyawa sekali gus memberi pengajaran kepada pasukannya yang lain supaya jangan sekali-kali mencabar dirinya.Apatah lagi, tuduhan rambang ke atas dirinya.
“Yazaid!!!!” Elizia menjerit sekuat hati.Air matanya berjujuran tanpa dapat dibendung.Hatinya sebak melihat Yazaid maut dihadapan tubir matanya.Takungan matanya tumpah membasahi pipi.Hatinya menjadi rawan dan pilu.Dia tidak sanggup untuk melihat keadaan Yazaid sebentar lagi.Hatinya tidak sanggup melihat kekasih hatinya dibelasah teruk namun ini adalah implikasinya apabila ego menguasai diri tanpa dapat dibendung.Kesan yang memakan diri sendiri.
Elsa berdiri memandang ke arah tempat Yazaid terbaring untuk melihat jasad tidak bernyawa lelaki itu.Serangan terakhir dari Elsa adalah salah satu teknik serangan membunuh mangsanya.Apabila debu-debu tanah semakin memudar dan menghilang, Elsa terkejut bukan kepalang.Anak matanya terbuntang melihat tempat kakinya berpijak ketika itu.Tubuhnya menggeletar.Kakinya terasa goyah dan kaku.Dia tahu siapa punya angkara.Hanya seorang sahaja di kalangan mereka yang berupaya melakukan teknik ini.
Terdapat kesan lekuk yang besar dan dalam di tempat dia melepaskan ledakan tumbukan mautnya namun jasad Yazaid tidak berada disitu.Elsa menelan liurnya sendiri.Serangan terakhirnya itu adalah serangan maut.Dia amat meyakini serangan itu mengena pada tubuh Yazaid.Tambahan pula, dia telah mengunci tubuh Yazaid menggunakan aliran tenaga kunci tubuh dari kakinya.Mana mungkin lelaki itu dapat melepaskan diri dari serangan yang cukup pantas itu.Pergerakannya umpama dalam sekelip mata.Elsa mencari-cari kelibat Yazaid di sekelilingnya.
Pandangan mata Elsa terhenti pada dua susuk tubuh tidak jauh dari tempatnya berdiri.Apabila debu-debu tanah menghilang dan mengembalikan penglihatan, dua susuk tubuh itu memunculkan diri.
Kapten Zayyan memapah tubuh Yazaid yang dalam keadaan longlai.Beberapa orang bangsa Letrazie bergegas lari mendapatkan Yazaid dan diusung keluar dari gelanggang itu.Penduduk yang menyaksikan pertarungan itu terdiam.Air mata Elizia bergenang saat melihat tubuh Yazaid dipapah keluar dari gelanggang.Marshall dan Ilyas membuntang anak mata melihat keampuhan gadis itu.Leo dan Tyrel sekadar bersahaja namun tetap terkejut.
Kapten Zayyan menghampiri Elsa.Dia menapak dengan perlahan namun setiap injakan kakinya mengeluarkan angin yang menerbangkan debu-debu tanah.Lelaki itu pasti lebih ampuh berbanding Elsa.Apabila Kapten Zayyan bergerak, kelihatan seperti bayang-bayang tubuh lelaki itu bergerak-gerak dan sesekali menghilang lalu muncul semula.Elsa tergamam tidak terkata.Kedua-dua kakinya kaku tidak bergerak seolah-olah ada tangan-tangan ghaib yang membekukan seluruh pergerakan tubuhnya.Terasa urat saraf ditarik-tarik.Tubuhnya menjadi dingin dan seram sejuk.
“Ini adalah pertarungan persahabatan.Bukan pertarungan maut.Matlamatnya adalah untuk memperlihatkan kehandalan dan persahabatan.Bukannya memperlihatkan kekejaman dan permusuhan.Itu adalah dua perkara yang berbeza, Elsa!” Sejurus selepas menegur Elsa, Kapten Zayyan berpaling kebelakang dan meninggalkan Elsa berseorangan di tengah-tengah gelanggang.
Elsa terduduk di tengah-tengah gelanggang.Rasa kesal mula menyelubungi dirinya.Membiarkan nafsu amarah menguasai jiwa ternyata membawa derita.Silap perangkaan, nyawa bakal menjadi taruhan.
Penduduk yang menyaksikan pertarungan sengit itu mulai bersurai kecuali Leo dan Tyrel.Marshall dan Ilyas turun ke gelanggang mendapatkan Elsa manakala Elizia menghilang mencari Yazaid.Pertarungan tidak akan pernah dapat menyelesaikan permasalahan.
Elsa kelihatan berbincang sesuatu dengan Marshall dan Ilyas.Mereka kelihatan kagum dan sesekali melonjak ingin tahu teknik yang digunakan oleh Elsa.Mereka tidak pernah melihat teknik itu sebelum ini.Leo dan Tyrel hanya duduk di tempat penontot tanpa mahu berganjak.
“Aku rasa, Yazaid tak mampu bertahan lama.Dia sudah nyawa-nyawa ikan.Elsa bukan calang-calang orangnya.” Tyrel menduga-duga.
“Tak juga.Kau lupa, Kapten Zayyan yang selamatkan dia dari maut tu.Kalau tak, Elsa hentam dia teruk juga.” Leo bangkit berdiri meninggal Tyrel yang kelihatan termenung sendirian.Memikirkan saat peperangan yang terimbau di jalur memorinya.Ternyata peperangan tidak menjanjikan kebahagian melainkan penderitaan semata-mata.Pasti banyak nyawa yang akan terkorban terutamanya nyawa mereka yang tidak bersalah.
[To be Continued >> Server 45]
ns 15.158.61.44da2