SERVER 20
Bandar Inderapuri,Tahun Infiniti 30XX
Suasana bandaraya ini ternyata masih hiruk-pikuk.Demonstrasi dikalangan marga kota berada di sana sini.Penduduknya mula berang apabila hampir keseluruhan operasi harian tergendala kerana hampir seluruh kehidupan menggunakan sistem digital melalui Brainlink dan sambungan server.Bahkan, nyalaan lampu jalan juga menggunakan isyarat daripada sistem server induk utama yang berlokasi di tengah-tengah bandaraya ini.
Dua orang sahabat menempatkan diri mereka di atas sebuah bangunan setinggi tiga tingkat milik makmal Hyperserv.Mereka berdua memerhatikan situasi semasa yang sedang diharungi oleh bandar ini.Keadaan bandar ini kelihatan agak suram.Kenderaan enjin elektronik juga tidak berfungsi dan tidak bergerak malahan berlaku kesesakan yang luar biasa.
Hadif memeluk tubuh sambil memerhatikan persekitaran manakala Irfan lebih suka termenung.Akalnya mengitari suasana dan cuba menghadamkan pelbagai perkara yang berlaku secara serentak.Terasa membejatkan akal yang waras.Suasana ibu kota ini tidak ubah seperti dilanggar garuda.Disapu puting beliung yang memusnahkan harta-benda dan membunuh setiap kehidupan yang bernyawa.Tunjuk perasaan berada di mana-mana.Mereka berkelakuan seperti disampuk sedangkan mereka tidak tahu duduk perkara sebenar.
Kedua-duanya mendiamkan diri dalam tempoh yang agak lama.Hairuddin telah pulang ke rumah selepas pengurusan jenazah Samsul.Dia perlu menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyusul semula kemudian.Akal mereka berdua cuba dikerah sehabis baik.Pelbagai alternatif cuba difikirkan namun kesemua membejat kala ini.
“Assalamualaikum,tuan” Satu suara mengucapkan kalam suci sejahtera.Salam suci disahut serentak.Keduanya menoleh ke belakang.Kelihatan seorang lelaki berpakaian pejabat lengkap dengan kot hitam.Bersebelahan dengannya ialah seorang gadis berusia 20-an.Kelihatan anggun walaupun mengenakan pakaian pejabat dan bertudung litup.Lelaki itu berjabat tangan dengan Hadif dan Irfan sementara gadis itu tersenyum lalu menganggukkan kepala tanda salam dan hormat.Batas perlu dijaga walau dimana jua.Memberi tanda hormat adalah perkara yang dituntut dan bukan hanya sekadar berjabat tangan.Batas mahram perlu dijaga serapi yang mungkin.
“Tuan ini siapa?Bagaimana boleh tahu kami disini?Bagaimana tuan masuk ke sini?” Hadif mendahului dengan paluan persoalan.Musykil.Pintu untuk naik ke atas bumbung bangunan ini hanya melalui pintu utama makmal dan menerusi pintu rahsia di dalam makmal Hyperserv sahaja.Bahkan pintu utama kesemuanya sudah dikunci.Bagaimana dua orang yang tidak dikenali boleh menerobos masuk tanpa sebarang masalah.
Lelaki itu tersenyum sambil berkalih memandang gadis bersebelahannya.Gadis bertudung itu memahami isyarat lalu bergerak ke hadapan sedikit sekitar dua langkah ke hadapan.
“Nama saya Elizia.Dan ini bos saya, Encik Ilyas Rayfall.” Gadis bernama Elizia memperkenalkan diri sekali gus memperkenalkan majikannya.Hadif dan Irfan menggangguk tanda faham.
“Kami berdua mewakili syarikat kami.Kita semua sedia maklum tentang situasi semasa sekarang ini.Dan saya juga mendapat tahu bahawa, Hyperserv sedang berada di dalam keadaan yang genting.” Sambung Elizia lagi.
“Bagaimana tuan dan cik boleh mengetahui perkara yang melanda Hyperserv?” Irfan pula mencelah.Dia tidak bertemu dengan kedua-dua tetamunya ini namun mereka seolah-olah amat mengenali sistem Hyperserv.Kini, mereka bertindak seolah-olah menawarkan bantuan yang mungkin dapat membantu menyelesaikan kemelut ini.
“Bertenang,encik.Biar kami menjelaskan duduk perkara sebenar.Sebelum itu, boleh kita berbual di dalam.Macam tak sopan pula kalau kita bicara disini.” Lelaki bernama Ilyas Rayfall merendahkan diri namun terselit sedikit perli di dalam bait katanya.Tidak manis pula tetamu dilayan sebegitu.Alangkan kita sendiri akan menjemput tetamu masuk ke rumah apabila mereka bertandang ke teratak kita.Irfan dan Hadif berpandangan sesama sendiri lalu menjemput tetamu misteri mereka untuk masuk ke dalam.Menuju ke ruangan yang lebih selesa dan sesuai untuk berbincang.
Lampu dan pendingin udara di dalam bilik mesyuarat di hidupkan.Ternyata makmal Hyperserv juga seperti sebuah pejabat yang memiliki ruangan rahsia untuk ujikaji dan pembangunan sistem.
Ilyas dan Elizia mengambil tempat disebelah kanan manakala Irfan dan Hadif menempatkan diri mereka berhadapan dengan tetamu misteri yang tidak diketahui maksud tujuan mereka.Irfan memegang sebuah buku dan meletakkan di atas meja namun tidak diusik atau diselak muka suratnya.Sekadar membiarkan sahaja.
“Jadi, apa maksud tujuan tuan datang kemari?” Hadif tidak sabar menunggu.Irfan menjadi pemerhati.
“Saya terus straight to the point.Syarikat yang saya usahakan, I.R Federation berhasrat untuk membantu menyelesaikan kemelut global yang dihadapi sekarang.Dan saya yakin, Hyperserv juga terlibat dengan permasalahan ini.” Ilyas menerangkan serba ringkas tentang tujuan dan hasrat mereka ke sini.Elizia kelihatan sibuk mencari maklumat pada papan monitor hologram miliknya.Ianya seakan sebuah pad digital namun keseluruhannya termasuk papan monitor diperbuat daripada gentian kaca fiber dan maklumat terpapar diatasnya secara hologram.Irfan dan Hadif mendiamkan diri menunggu bait bicara seterusnya.
“Syarikat saya mengusahakan sebuah perisian antivirus dimana saya fikir, ianya dapat membantu mengatasi permasalahan ini.” Ilyas tetap berhemah dan mengikut protokol ketika bertemu client.
“Macam mana tuan boleh tahu bahawa Hyperserv ada perkaitan sedangkan pihak kami tidak pernah membuat apa-apa pengakuan?” Hadif cuba menguji.Dia bimbang sekiranya tetamu misteri mereka ini mempunyai agenda yang tersembunyi.Manusia sanggup melakukan apa sahaja demi meraih keuntungan dan kepentingan diri sendiri.Lebih baik berwaspada sebelum perkara buruk terjadi.
Persoalan itu dibiarkan tergantung.Ilyas sekadar menguntum senyuman.Senyuman yang menyimpan 1001 rahsia yang dikatakan tidak diketahui.Senyuman yang menyimpulkan andaian yang pelbagai.Senyuman yang mengikat ketat rahsia yang tidak mudah untuk diselongkar oleh sesiapa.
“Cukup sekadar pihak Hyperserv mengetahui fungsi syarikat kami dan tujuan kami ke sini.Kita selesaikan apa yang belum terurai dahulu.Boleh ya?” Ilyas bijak mengelak menjawab pertanyaan Hadif yang ternyata mahu mengujinya.Hadif melepaskan keluhan halus.Ternyata Ilyas mampu membaca rentaknya.Ilyas bukan orang sebarangan juga.Akalnya bergeliga,fikirnya.
“Jadi, apa yang syarikat tuan boleh lakukan? Kami cuba untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.” Irfan mengalah.
Ilyas tersenyum.Ternyata kenyataan itu yang ditunggu-tunggu.Tanda persetujuan kedua belah pihak.Ia akan memudahkan sebarang urusan.Walaupun kemelut global kini semakin meruncing namun sifat dan sikap Ilyas kelihatan tenang dalam bertindak ternyata memberi kesan kepada perbicaraannya.Kelihatan tenang dan tidak mendesak.Ilyas mengalihkan pandangan ke arah Elizia.Elizia memahami isyarat itu.Gadis itu membetulkan duduknya untuk memulakan bicara.Irfan dan Hadif mengalih pandangan kepada gadis ayu ini.
Elizia menekan-nekan papan komputer hologramnya.Beberapa saat kemudian satu pancaran cahaya hologram memancar dari permukaan kaca hologramnya.Ia membentuk seakan sebuah perisian dengan susunan kod yang sukar difahami namun tidak pada Irfan.Dia mengetahui kod sebegitu namun ada juga kod yang boleh dikatakan agak baru padanya.Irfan kagum buat seketika.Dia sendiri tidak mampu menyiapkan kod rumit dan kompleks seperti ini.Kod ini telah diubahsuai.Jauh disudut hatinya, mahu sahaja dia bertanya siapakah gerangan yang mengubah suai kod kompleks ini namun hasratnya dipendamkan buat seketika.
Paparan itu berbentuk 3D dan ianya terhasil daripada pancaran hologram yang bertembung secara menyilang sehingga membentuk sebuah paparan 3D mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Ini adalah program penawar atau boleh kita katakan antidote.Program ini hampir menyerupai seperti program pemusnah tapi ini adalah keterbalikan daripada program itu.”Elizia menerangkan serba ringkas tentang program itu.
“Fungsi?” Hadif berpeluk tubuh.Maklumat yang dinyatakan ternyata tidak jelas baginya.
“Jika tubuh badan kita sakit, kita perlu mengambil ubat seperti Paracetamol berkesan untuk mengurangkan rasa demam.Begitu juga dengan sistem digital.Sistem memerlukan ubat untuk pulih seperti sedia kala.Tetapi namanya sahaja berbeza.Ini bukan Paracetamol.” Ilyas kelihatan tersenyum.Ternyata lawak itu yang dikatakan kepada Elizia suatu ketika dahulu ketika Elizia mula-mula bekerja dengannya.Elizia tersenyum sedikit namun tidak pada Irfan dan Hadif yang menganggap situasi ini sebagai genting dan tidak sesuai untuk membuat lawak hambar.Hadif memicit-micit bahagian dahinya tanda tidak mengerti.
Elizia memahami bahasa tubuh dari Hadif.Gadis itu mengeluh sedikit.Melepaskan keluhan halus.Dia tahu bahawa dia perlu memperbaiki cara penyampaian ketika menerangkan sesuatu kepada client.Ilyas kelihatan agak memahami situasi Elizia.
“Jika ubat demam untuk manusia dinamakan sebagai Paracetamol. Sistem ini juga ada namanya sendiri.Kami gelarkannya...” Ilyas mengambil alih tugas Elizia.Lelaki itu berdiri dan tangan kanannya menyeluk saku kanan pada kot hitam.Dia mengeluarkan sekeping kad gentian kaca lantas menghayunkannya ke hadapan.Secara tiba-tiba, paparan cahaya hologram bersaiz agak besar memenuhi ruangan bilik mesyuarat itu dengan didominasi warna biru hologram.Irfan dan Hadif agak terkejut dengan paparan hologram binaan kod yang memenuhi ruangan bilik mesyuarat.
“.... IRIS.” Ilyas tersenyum memandang paparan gergasi itu.Ternyata hasil rekaannya memberikan satu kepuasan yang maksimum.
“IRIS?” Hadif seakan terlopong.Irfan membuntangkan anak matanya.
“Yup.IRIS.” Ilyas sekadar mengiyakan.Susunan kod terpancar secara hologram terapung-apung di hadapan mata memenuhi ruangan bilik mesyuarat.Susunan yang agak kompleks dan bunyi-bunyi digital menerkam masuk ke gegendang telinga masing-masing.
“Apa maksud IRIS?” Irfan diselubungi rasa ingin tahu yang membuak-buak.
“I.R.I.S. Cukup untuk tuan tahu namanya dan fungsinya sahaja.Itu sudah memadai.” Elizia mencelah.
“Iya saya tahu.Tapi apa maksud IRIS?” Hadif juga tidak berpuas hati namun ternyata dia amat kagum dengan rekaan digital ini.
“Singkatan untuk Intelligence Resistance Immunities System. Sistem ini masih diperingkat pengujian dan sekarang adalah masa yang sesuai untuk mengujinya.” Ilyas menerangkan serba ringkas.
“Sama ada ianya berjaya atau tidak, itu kita ketepikan dahulu.Sekiranya terdapat beberapa kelemahan, saya boleh mengatasinya dalam tempoh masa yang singkat dan mengujinya sekali lagi.” Elizia pula mencelah.Sedikit sebanyak dia juga menjadi kagum dan bangga kerana sistem I.R.I.S ini merupakan idea asal daripadanya.Ia merupakan satu sistem rumit yang bertindak sebagai antivirus dan juga sebagai pemulih kepada sistem yang telah hancur dan rosak.
Bilik mesyuarat itu terang benderang dengan apungan kod yang terpancar secara hologram dan digital.Irfan dan Hadif melihat-lihat kod kompleks itu dengan rasa kagum.Sedikit sebanyak mereka berdua mempercayai keupayaan syarikat ini di dalam membantu mereka untuk menyelesaikan permasalahan yang sedang melanda.Namun, setiap ciptaan pasti ada kelemahan.Pengujian yang akan menentukan setiap kelemahan.
>>Bersambung [Server 21]
ns 15.158.61.17da2