Kaki gunung kawasan jajahan Fin Del Mundo, HyperServ
131Please respect copyright.PENANAWzl1E8RJn6
Hening pagi itu tetap seperti kebiasaan di perhutanan itu.Sejuk dan nyaman.Kepulan-kepulan awan berarak perlahan menghiasi kawasan pergunungan.Hawa dingin menerpa menyelubungi seluruh kawasan.Rintik embun membasahi dedaunan malar hijau yang subur disini.
Seperti kebiasaannya, Estrella bangkit seawal pagi untuk menikmati keindahan alam digital itu.Menggapai pandangan nun kejauhan tidak tertumpu arahnya.Sorotan matanya meliar pandangan sambil menikmati keindahan seawal pagi sebegini. Begitulah rutin Estrella saban hari tanpa jemu.Baginya, selagi nyawa masih bertakung menongkat tubuh selagi itu kehidupan perlu diteruskan dengan menikmati masa-masa yang masih bersisa.
Di dalam lamunan yang panjang, bahu kirinya disentuh oleh seseorang.Estrella menoleh sekilas ke arah kiri. Aneh. Tiada sesiapa disitu.Dahinya berkerut lalu dia berpaling semula ke hadapan lantas menoleh ke kanan.
“Waaaahhhhhh!!” Sergahan kuat itu mengejutkan Estrella.Tindakan spontan dari wira wanita bangsa Yaneko itu bukan calang-calang.Tangan kanan Estrella pantas mencekak leher mangsa lalu ditarik ke arahnya.
Serentak itu juga kepalan tangan kirinya menujah keras membelah angin tepat ke dahi mangsa.Kelibat yang mengejutkan Estrella terpelanting ke belakang beberapa meter dan terseret menjauhinya. Estrella menghampiri batang tubuh yang terbaring itu dengan penuh hati-hati dan bersiaga.
“Aduuhh.Awak ni tak padan dengan perempuan.Ganas juga.” Lelaki itu mengosok-gosok dahinya yang kelihatan merah dan lebam. Estrella tercengang dan pantas membantu lelaki itu untuk bangkit semula.
“Itulah..lain kali jangan terkejutkan saya macam tu.Maafkan saya.Sakit tak?” Estrella menjadi serba salah. Gadis itu menyentuh dan menggosok dahi Fared yang lebam kemerahan.
“Tak ada apalah.Nanti elok laa ni. Awak tu, kenapa termenung sorang-sorang pagi ni?” Fared memaniskan rona wajahnya walaupun dalam keadaan menahan kesakitan yang masih berdenyut-denyut.
“Setiap hari saya macam ni.Saya suka tengok pemandangan pagi disini.Dari atas pokok ni.” Estrella melemparkan pandangannya semula ke arah hamparan hutan yang menghijau dan mendamaikan.
“Awak masih berfikir-fikir tentang pertandingan malam tu?” Fared mengalih topik perbualan.Dia mengambil tempat bersebelahan Estrella. Gadis itu terkedu. Tiada jawapan yang tepat ketika itu bagi menjawab pertanyaan dari Fared.
“Saya hairan. Setiap kali anak panah yang awak lepaskan, anak panah itu tidak bergerak lurus seperti kebiasaan.Anak panah awak macam...bermata tetapi buta.Bergerak ke serata arah.Menebak entah kemana-mana sasaran.Seolah-olah macam...dipandu oleh sesuatu yang tidak kelihatan.Kenapa?” Fared merenung tajam ke arah Estrella meminta penjelasan.
Raut wajah Estrella langsung berubah.Setiap kali pertandingan dijalankan oleh bangsa ini, Estrella pasti tidak akan menyertainya malahan tiada sesiapa pun di kalangan bangsa Yaneko itu mahu berpasangan dengannya namun dia tidaklah dipulaukan. Hal ini disebabkan tebakan anak panah Estrella bergerak dalam keadaan aneh dan mungkin bakal meragut nyawa bangsanya sendiri.Gerakan anak panahnya meliar tidak mengenal mangsa.
Estrella terkedu tanpa menjawab pertanyaan Fared yang menunggu jawapan pasti darinya.Ini bukan kehendaknya namun hanya dia sahaja yang tidak mampu memanah dengan baik dalam kalangan bangsanya.
“Saya...saya...” Estrella tergagap-gagap untuk menjawab pertanyaan mendesak dari Fared. Renungan tajam Fared menambahkan lagi ketidakselesaan dirinya.
“Estrella satu-satunya bangsa kami yang tidak pandai memanah.” Satu suara menegur dari belakang. Lantas Fared dan Estrella menoleh serentak ke arah suara itu.
Athelia berjalan dengan tenang menghampiri mereka disusuli oleh Ismail dan Kirin.Athelia berjalan perlahan menempatkan diri di antara Fared dan Estrella. Mereka berdua memandang sesama mereka silih berganti. Fared kelihatan agak teruja untuk mendengar jawapan dari Athelia memandangkan Estrella tidak mampu berkata apa-apa.Gadis itu hanya menunduk sahaja.
“Walaupun Estrella adalah orang kanan saya, bukan bermakna dia mempunyai kemahiran memanah yang sangat tinggi seperti saya. Dia menjadi orang kanan saya kerana dia pernah bersama-sama bangsa Yaneko terdahulu memerangi bangsa Valkazar di barisan hadapan yang memusnahkan penempatan kami.Dia jugalah...yang pernah menyelamatkan saya dari maut.” Athelia meringkaskan penceritaan.Estrella tetap menunduk.
“Maknanya, awak melantik dia sebagai orang kanan hanya semata-mata untuk membalas jasa sahaja? Walaupun awak tahu dia tidak ada asas memanah yang kukuh?” Fared menyoal pula.
“Lantikan orang kanan saya sudah dikira baik untuk membalas jasa.Untuk bangsa kami melihat dan mengenang jasa dia sebagai pahlawan suatu ketika dahulu.Jika tidak, tiada siapa yang sudi memandang dia walau hanya sebelah mata.Bagi bangsa kami, kemahiran memanah merupakan asas bagi Bangsa Yaneko. Tanpa kemahiran itu...dia adalah sampah dan...dari bangsa luar.” Athelia mengerling tajam ke arah Estrella yang menunduk dari tadi. Rupa-rupanya, Athelia sudah memendam rasa kurang senang terhadap Estrella sejak sekian lama. Lantikan Estrella sebagai orang kanan Athelia juga hanyalah desakan dari bangsa Yaneko itu sendiri untuk menaikkan martabat Estrella yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu ketika dahulu dan pernah bersama-sama bangsa Yaneko terdahulu menentang bangsa Valkazar yang kejam dan buas dari memusnahkan penempatan mereka.
“Awak tahu tak, cara awak itu dianggap satu penghinaan? Awak tahu dia tidak mempunyai keupayaan untuk memanah yang awak anggap asas kepada bangsa Yaneko. Awak dan Estrella akan jadi barisan paling hadapan jika berperang. Dengan tanpa ada kemahiran memanah?” Fared menudingkan jari telunjuk ke arah Estrella.
“Itu bukan urusan kamu untuk mencampuri.Saya menentukan hala tuju bangsa kami. Kami menerima kalian ke sini sebagai tetamu juga sudah kira beruntung. Jika tidak, anak panah ini pantas menebak jantung kalian malam itu tanpa kalian sedari.” Athelia semakin meninggi diri.Dirinya terasa tercabar apabila tindakan Fared seolah-olah mencampuri urusannya sebagai ketua bangsa itu.Wajah Fared semakin merah padam.
“Kenapa Estrella tidak dilatih?” Fared meneruskan hujah.Ismail dan Kirin saling berpandangan.Riak wajah mereka tampak risau dengan keadaan pagi yang semakin ‘panas’ ini.
“Apakah perlu untuk saya menjawab pertanyaan kamu?” Athelia memegang busur panah sebagai langkah persediaan.Estrella semakin cemas. Fared mengepalkan kedua-dua genggaman tangannya.Kelihatan seolah-olah aura kebiruan muncul dari genggaman tangan Fared.Wajahnya semakin membengis.
“Sudah cukup!!” Estrella terpaksa menenangkan.Athelia dan Fared langsung tidak beralih pandangan.Mereka merenung tajam sesama mereka.Hanya perlu menambah sedikit minyak tanah sahaja lagi maka maraklah api membakar perhutanan ini.
“Jangan bertelingkah sebab saya.Ya, saya tahu saya tidak berguna.Saya tidak layak untuk bangsa Yaneko.Saya tidak tahu memanah.Saya tahu saya tidak layak untuk menjadi orang kanan kepada pahlawan terhandal bangsa Yaneko.Tapi tolong jangan hina saya.” Terbit air jernih di sebalik kelopak mata Estrella lalu mengalir menitis ke tanah. Fared tergamam.Athelia berwajah bengis tidak berperasaan dan emosi.
“Saya tidak akan pergi dari sini kerana disini satu-satunya kediaman saya.Tetapi mulai saat ini saya akan meminggir diri.” Estrella berkalih untuk meninggalkan mereka.
“Tunggu!” Fared menegah. Estrella menoleh sekilas. Fared merenung tajam ke arah Athelia yang menunggu bait bicara seterusnya.
“Dua minggu. Bagi saya dua minggu untuk melatih Estrella. Selepas dari tempoh itu, kamu akan bertempur dengan Estrella.Saat itu saya yakin, kamu akan tersungkur menyembah bumi.Ego kamu akan runtuh sepenuhnya. Dua minggu dari hari ini.” Semua yang mendengarnya tergamam terutama Athelia. Ismail dan Kirin berpandangan. Nampaknya mereka akan menetap disini lebih lama. Fared melangkah pergi sambil menarik tangan Estrella berlalu dari situ meninggalkan mereka. Athelia sekadar merengus nafas yang hangat.
Matahari kian meninggi di permukiman itu.Kelihatan liang-liang cahaya menembusi dari sebalik rimbunan dedaunan pokok yang menghijau.Fared dan Estrella berjalan merempuh semak belukar yang didahului oleh Estrella sebagai pemandu jalan.Fared hanya mengekori. Ismail dan Kirin mahu turut serta namun Fared tidak membenarkannya. Mereka berdua perlu berdiam diri di perkampungan Yaneko untuk dua minggu sementara latihan Estrella diteruskan.Athelia akan menjagai mereka berdua.
Sepanjang perjalanan itu, Fared dan Estrella langsung tidak berbicara walaupun sepatah perkataan.Masing-masing sedang melayan kecamuk perasaan masing-masing.Semua rasa bersatu menjadi satu perasaan yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Kenapa awak beriya-iya nak latih saya memanah?” Estrella memecah kesunyian diantara mereka.
“Sebab saya yakin.” Ringkas jawapan dari Fared.
“Yakin sebab apa? Awak pun tak ada kemahiran memanah tetapi masih nak latih saya? Percayalah.Ianya sia-sia.Awak tak akan dapat latih saya. Sehebat mana pun saya nanti, saya tak akan mampu untuk mencalarkan kulit Athelia walaupun hanya satu calar.Dia terlalu handal.” Estrella membalas panjang lebar.
“Jadi awak tak yakin lah? Kalau macam tu, kenapa awak tetap ikut kehendak saya untuk latih awak memanah kalau awak tak yakin?” Fared memulangkan semula persoalan kepada Estrella.
“Saya...saya ikut sebab saya nak berjauhan dari mereka.” Estrella berkalih membidas jawapan. Fared tersenyum sinis.Dia yakin dia dapat melatih Estrella dengan baik dan meruntuhkan ego Athelia yang sombong meninggi diri.
Dihujung perjalanan, mereka tiba di satu kawasan lapang dan luas terbentang berlatar belakangkan pergunungan yang tinggi melampai mencecah awan. Fared kagum melihat persekitaran disitu.Dia melangoi kepala menerjah pandangan ke puncak gunung namun tidak kelihatan.Keindahannya mempesonakan.Suhu di sini agak sejuk berbanding kawasan yang lain.Angin sepoi-sepoi bahasa bertiup lembut mendinginkan suasana. Kelihatan beberapa buah pondok terbina nun dikejauhan. Kelihatan juga batang-batang kayu dari pokok mati berada di mana-mana dalam jarak yang agak jauh antara satu sama lain namun tumbuhan renek yang pelbagai warna dan bentuk tumbuh meliar mengindahkan lagi persekitaran.
“Baik.Sini kelihatan agak sesuai untuk latihan.” Fared menoleh sekilas ke kiri dan kanan. Kelihatan sekawan haiwan seperti kerbau namun memiliki saiz tubuh yang agak besar dan kekar dari kerbau di dunia manusia.Tanduknya juga bercabang dua setiap satunya. Juga kelihatan sebatang anak sungai tidak jauh dari kawanan tersebut.
Estrella menghirup udara segar disitu. Disinilah tempat dia menghabiskan masa apabila ada masa terluang.Estrella gemar menyendiri.Tiada seorang pun dari bangsa Yaneko mengetahui tentang tempat ini. Estrella yang menemui tempat ini dan dijadikan tempat ini sebagai tempat ‘rahsianya’.
“Kita akan berehat dahulu hari ini.Malam nanti perlu tidur awal dan rehatkan badan.Esok pagi kita akan mulakan latihan sepanjang hari berlanjutan hingga ke awal malam. Faham?” Fared seolah-olah memberi arahan namun nada suaranya tidak meninggi dan tidak kedengaran seperti memaksa. Estrella mengganggukkan kepalanya tanda faham.Dia hanya akur sahaja kehendak Fared untuk melatih dirinya memanah sedangkan dia tahu bahawa latihan ini adalah sia-sia belaka.Dia tidak boleh dilatih untuk memanah.Ianya seolah-olah sumpahan ke atas dirinya. Walau sebaik mana dia membidik sasaran, anak panah yang dilepaskan pasti akan melayang ke serata arah tanpa tujuan.
Estrella mengikut sahaja kehendak Fared untuk latihan ini hanya semata-mata untuk melarikan diri dari bangsa Yaneko buat sementara waktu.Dia tidak mahu berada di kalangan mereka buat sementara ini.Memandangkan tempoh latihan yang dipinta oleh Fared adalah dua minggu.Ianya satu tempoh yang agak panjang dan mencukupi baginya untuk menenangkan fikiran yang bercelaru.
Namun, apa yang membimbangkan fikiran Estrella ketika ini adalah selepas tempoh dua minggu itu. Dia perlu bertempur dengan Athelia untuk menunjukkan hasil latihannya dengan Fared selama dua minggu itu.Itu lebih menggetarkan jantungnya ketika ini.Langsung berubah riak wajah Estrella apabila teringatkan perjanjian itu. Dia memandang sekilas ke arah Fared yang kelihatan berkeyakinan tinggi dengan latihan ini.Seolah-olah lelaki itu sudah mempunyai perancangan dengan latihan yang bakal dilaksanakan keesokan hari.
Estrella melabuhkan duduknya di pondok yang berdindingkan lapisan papan dan beratapkan rumbia.Sementara Fared pergi ke arah perhutanan untuk menyiapkan persiapan latihan. Estrella bermenung berseorangan seperti kebiasaan.
131Please respect copyright.PENANADEhBgqdXRY
[To be continued >> Server 49]
ns 15.158.61.17da2