Bangsa Yaneko, Kaki gunung kawasan jajahan Fin Del Mundo, HyperServ
112Please respect copyright.PENANAnfdwG36XHL
Suasana diperkampungan bangsa Yaneko ini ternyata mendinginkan terutama pada waktu malam seperti ini. Saban hari saban malam, Kirin sering kali mengurung dirinya didalam sebuah bilik kediaman sementaranya. Dia menjadi kemurungan selepas peristiwa Ismail dibawa pergi oleh makhluk bernama Brothome.
Menurut cerita-cerita dari penduduk disini, Brothome merupakan salah satu daripada makhluk lagenda yang dianggap tidak wujud dan hanya sekadar mitos.Namun sejak kemunculannya beberapa minggu lalu, ternyata ianya memadamkan corak pemikiran penduduk disini sekali gus mempercayai tentang kewujudan makhluk itu. Yang menjadi tanda tanya buat mereka adalah motif makhluk tersebut menghampiri perkampungan mereka dan lebih merumitkan keadaan, hanya Ismail sahaja yang dibawa pergi sedangkan penduduk-penduduk lainnya langsung tidak diapa-apakan.Ternyata tujuan dan matlamat utama makhluk itu hanyalah seorang manusia yang suatu ketika dahulu tersesat memasuki dunia Hyperserv ini. Dan kini tiada siapa yang tahu bahawasanya Ismail telah dibawa pulang ke dunia asalnya. Hanya Athelia yang mengetahui perkara yang sebenar tanpa memberitahu kepada Kirin.
Athelia hanya memandang dari luar sahaja.Sekadar menjenguk dan memastikan Kirin dalam keadaan baik-baik sahaja.
Athelia mengeluh halus.Sejak kehilangan Ismail, Kirin menjadi kemurungan seolah-olah orang putus cinta.Dia sedar bahawa hubungan Kirin dan Ismail ternyata sangat rapat.Tidak mustahillah Kirin menjadi sebegitu rupa.Semangatnya seolah-olah hilang bersama Ismail yang dibawa pergi oleh makhluk itu.
“Macam mana keadaan Kirin? Masih seperti itu?” Satu suara serak-serak basah menegur Athelia dari belakang.Sekilas Athelia menoleh.
Kelihatan seorang wanita tua menghampiri dirinya dan menempatkan dirinya bersebelahan dengannya.Wanita tua itu berjalan dalam kadar yang agak perlahan.Mungkin kerana usianya yang telah lanjut.Tiada siapa tahu berapakah usia sebenar wanita tua itu.Mungkin ratusan tahun atau mungkin ribuan tahun di dalam dunia Hyperserv ini. Peredaran masa di dalam dunia Hyperserv ini tenyata tidak sama dengan peredaran masa di dunia realiti.Pergerakan masa disini jauh lebih pantas berbanding dunia realiti namun tiada siapa yang tahu tentang perkara itu melainkan Rayfall sendiri.
“Saya pun tak tahu macam mana nak kata, Ma’am Rosalind. Keadaannya semakin lama, semakin teruk.Semakin dia kemurungan. Dah bermacam-macam cara kita cuba usahakan tapi…” Athelia melepaskan keluhan yang memberati rengkungannya.
“Mana mungkin seorang gadis melupakan buah hatinya, tidak begitu?” Wanita tua yang bernama Ma’am Rosalind itu mengerling nakal ke arah Athelia.Sorotan matanya seolah-olah memerli Athelia sendiri namun gadis itu langsung tidak mengendahkannya. Dia sudah masak benar dengan perangai wanita tua itu. Bukan dia tidak mahu mencari pasangan hidup tetapi dia langsung tidak terfikir tentang perkara itu sama sekali. Ada sahaja beberapa lelaki dari bangsa lain yang molek dan elok perangainya berkenan dengan Athelia.Tambahan pula golongan itu tertarik kepada Athelia bukan sahaja kerana kecantikannya tetapi kepada kredibiliti serta kemampuannya dalam medan pertempuran. Namun semuanya tidak dipandang oleh Athelia melainkan dipandang sebagai menjengkelkan dan menyesakkan hidupnya.
“Tak mengapalah, Athelia.Kita diamanahkan oleh manusia itu untuk menjaga Kirin.Kita lakukan sebaik mungkin.” Ma’am Rosalind menasihati Athelia dengan bernada rendah.Cuba untuk menenangkan hati Athelia yang dilanda kegalauan dan bimbangkan Kirin.
Dia tahu tentang latar belakang Kirin dan seorang lagi lelaki yang wujud di bumi Hyperserv ini yang ditugaskan sebagai A.I atau Artificial Intelligence hasil rekaan Rayfall.
Dan dia juga mengetahui tentang kewujudan bangsa pembunuh dan pemusnah yang dipenjarakan oleh Rayfall suatu ketika dahulu iaitu Valkazar.Oleh kerana Kirin dan seorang lagi lelaki yang tidak dikenalinya itu mempunyai tugas yang amat penting bagi meneruskan kesinambungan dunia Hyperserv ini, dia perlu memikul amanah ini sebaik mungkin.Dia perlu melindungi Kirin walau apa jua yang berlaku. Lamunan Athelia jauh terlambung menerawang kemana-mana.Hanya sepi menjadi peneman antara Athelia dan Ma’am Rosalind ketika itu.Mereka berdiam diri buat beberapa ketika melayani kecamuk hati masing-masing.
“Athelia!” Secara tiba-tiba Ma’am Rosalind menolak tubuh Athelia dengan kasar lalu tangannya pantas menangkap tebakan anak panah.Anak panah itu terhenti di dalam genggaman Ma’am Rosalind. Athelia terkejut bukan kepalang.Buat pertama kali dalam sejarah hidupnya, dia berasa ketakutan yang teramat.Sebelum ini, tiada satu pun tebakan anak panah yang terlepas dari pandangan matanya yang cukup tajam.Setiap gerakan anak panah walau sepantas mana sekali pun, dia pasti akan dapat mengesannya namun tidak pada malam ini.Fikirannya pada malam ini jauh lebih menerawang meninggalkan jasadnya sehingga tidak menyedari tebakan anak panah yang menyasar ke arahnya.
Ma’am Rosalind membelek-belek anak panah itu lalu anak matanya menyoroti pandangan menembusi suasana malam perhutanan itu. Dia dapat mengesan pergerakan pantas menyelinap jauh ke dalam hutan meninggalkan perkampungan itu namun tidak mampu mencarup suasana kegelapan malam tidak seperti Athelia.
Kelihatan segulung kertas diikat kemas bersama-sama anak panah yang berwarna kemerahan itu.Ianya seolah-olah perutusan dari seseorang.Athelia berasa kurang senang dengan cara sebegini rupa.Baginya adalah lebih baik jika bersemuka.
“Ma’am Rosalind, kertas apa itu?” Athelia menghampiri Ma’am Rosalind dengan kadar berhati-hati.Bimbang jika masih ada penyerang hendap yang masih berada disitu bersedia untuk menebak dirinya. Perlahan Ma’am Rosalind meleraikan ikatan itu dan membuka gulungan kertas itu.Kelihatan beberapa tulisan yang agak sukar untuk difahami oleh Athelia.
“Apa…ni?” Athelia mengerutkan wajahnya.Dia langsung tidak memahami tulisan itu.Ianya seolah-olah tulisan Sanskrit purba tetapi mempunyai simbol-simbol yang agak pelik dan aneh.
“Ini…perutusan ini…” Ma’am Rosalind terkedu.Bait katanya tersekat-sekat direngkongan.Wajah tuanya mula berkeringat.Athelia semakin bingung.
“Ma’am Rosalind memahaminya?” Athelia teringin untuk mengetahui isi kandungan perutusan itu.
“Ini…marabahaya!” Ma’am Rosalind terketar-ketar.Athelia semakin bingung.Dia hanya menunggu bait bicara dari Ma’am Rosalind yang selanjutnya.
“Persiapkan bala tentera kita.Persiapkan kubu kita.Persiapkan kelengkapan kita.Kita perlu berperang.Tidak lama sahaja lagi!” Kelakuan Ma’am Rosalind menjadi semakin aneh.
“Ini…adalah perutusan perang! Ini adalah bahasa…Valkashu. Bahasa rasmi bangsa…Valkazar!” Membulat mata Athelia apabila mendengar ungkapan itu.Dia berasa kurang percaya kerana setahunya bangsa itu terkurung di dalam gua Grotte Bardtan buat selamanya.
“Mana…mana mungkin, Ma’am Rosalind.Bangsa itu sudah lama terkurung.Tak mungkin bangsa itu…” Belum sempat Athelia menghabiskan kata-katanya, Ma’am Rosalind terlebih dahulu memintas percakapan Athelia dengan membacakan isi kandungan perutusan itu.
“Yaneko! Kalian bangsa keparat yang membantu Rayfall meruntuhkan takhta beta suatu ketika dahulu.Nantikan bala tentera kami menggempur kalian.Kalian akan kami habisi! Kami...sudah bebas!” Seusai perutusan ringkas itu dibaca, Athelia terkedu hilang kata.Dia seolah-olah tidak percaya.Dinding yang memisahkan bangsa itu dengan dunia luar adalah hasil dari tangan Rayfall sendiri yang tidak pernah runtuh sampai bila-bila.Mana mungkin dinding seutuh itu boleh runtuh.Wajah Athelia berkeringat.Terbayang jaluran memori ketika saat dia melibatkan diri di dalam kancah peperangan memerangi bangsa ini suatu ketika dahulu.Tragedi yang amat dahsyat.Namun begitulah hakikatnya setiap ciptaan manusia itu tiada satupun yang kekal.Segalanya pasti ada pengakhirannya selepas permulaannya.Hanya Allah S.W.T jualah yang kekal buat selamanya.Dia jualah tiada permulaan dan tiada pengakhiran.Dia tetap kekal selamanya.
Sepantas kilat Athelia melompat tinggi menuju ke sebuah menara yang dibina tinggi melampai melepasi pohon Tamashi itu.Disana kelihatan beberapa pengawal yang setia mengawal keselamatan persekitaran perkampungan mereka.
Athelia mendarat ke atas pelantar kayu itu dengan kasar.Ini membuatkan pengawal yang berhampiran segera menarik busur panah mereka lalu dibidikkan ke arah Athelia.
Namun mereka terhenti apabila melihat ketua mereka yang mendarat disitu.Amat jarang sekali bagi ketua mereka untuk melakukan lawatan mengejut terutama ketika pada waktu-waktu begini. Athelia pantas mendapatkan mereka.
“Kalian! Kalian ada terlihat sesuatu yang aneh dibawah sana?! Mungkin ada pergerakan.Kalian ada melihatnya?!” Athelia tampak cemas.
“Eerr..ti..tidak, Athelia.Kami tidak melihat apa-apa pergerakan mahupun perkara yang aneh.” Salah seorang pengawal disitu menjawab dengan suara yang terketar-ketar dan tergagap.
“Kalian pasti?!” Athelia mahu mendapatkan kepastian yang tepat.
“Be…benar, Athelia.Kami tidak melihat apa-apa yang aneh.” Jawapannya tetap sama namun Athelia masih tidak berpuas hati.Dia yakin musuh itu pasti melakukan muslihat.Para pengawal yang berkawal disini bukan calang-calang.Ketajaman pendengaran dan kecekapan pandangan mata mereka bukan sembarangan.Mereka adalah pasukan yang cukup terlatih.Mana mungkin ada musuh yang berjaya menyelinap masuk ke perkarangan perkampungan mereka.Meskipun pembinaan perkampungan mereka berada di atas pohon Tamashi ini namun setiap pergerakan yang berada di bawah sana pasti dapat dikesan dengan mudah kerana bangsa mereka sangat terlatih dengan sebarang situasi dan pergerakan.
“Bertenang, Athelia. Pasti ada jalannya.” Satu suara menyapa Athelia dari belakang.Sekilas dia menoleh. Ma’am Rosalind sudah berada di atas pelantar pengawal itu. Jika difikirkan secara logik, mana mungkin seseorang yang tua dan berusia mampu mengapai ke tempat yang setinggi itu namun tidak mustahil bagi Ma’am Rosalind selaku bekas pegawai elit pasukan pembunuh hendap bangsa Yaneko.Oleh kerana faktor usianya yang sudah agak berusia, dia menjadi bimbang dan ketakutan dengan ancaman bangsa Valkazar ketika ini memandangkan kudratnya tidak seperti dahulu.
“Apa jalannya, Ma’am Rosalind.Musuh yang kita bakal hadapi ini bukan calang-calang.Ini musuh yang paling ampuh!” Athelia menjadi kaget. Ma’am Rosalind juga terkedu tanpa jawapan.
Secara tiba-tiba, kesemua pengawal di atas pelantar itu rebah ke lantai.Athelia dan Ma’am Rosalind terkejut dengan situasi itu.Athelia memegang erat busur panahnya.Anak matanya meliar mencari-cari sasaran.
Anak panah berwarna kemerahan tepat menembusi dahi setiap pengawal yang berkawal di atas pelantar ini.Mereka mati serta-merta.Hanya Athelia dan Ma’am Rosalind sahaja yang masih hidup di atas pelantar ini.Wajah Athelia berkeringat.Musuhnya kali ini benar-benar ampuh.Pergerakannya tidak dapat dikesan walaupun oleh dirinya sendiri.Sehebat-hebat pahlawan seperti dirinya, dia langsung tidak dapat mengesan pergerakan musuhnya kali ini yang diselubungi kegelapan pekat malam.
Satu lagi tebakan pantas dan senyap anak panah membelah kepekatan malam tepat ke arah Ma’am Rosalind dari arah membelakangkannya namun dengan mudah ditangkap oleh Ma’am Rosalind.Dia mengilaskan tubuhnya dengan cara mengelak dan menangkap anak panah itu dengan tangannya sendiri.Malam ini sahaja sudah dua anak panah yang ditangkap oleh Ma’am Rosalind.Ternyata wajah tuanya tidak melambangkan kudratnya yang ternyata masih ampuh dan tangkas. Athelia agak terkejut dengan situasi itu.
“Rosalind! Ternyata kau masih hebat seperti dahulu ya, Rosalind.” Satu susuk hitam bertenggek di atas sebatang kayu yang terlunjur keluar dari pelantar itu.Athelia pantas menarik busur panahnya ke arah lembaga itu namun ditegah oleh Ma’am Rosalind.Dia amat mengenali suara itu.
Susuk tubuh hitam itu mendaratkan kakinya ke atas pelantar namun tidak berbunyi.Tubuhnya seolah-olah terlalu ringan umpama daun yang melayang jatuh di atas hamparan rerumput.Senyap dan rumput tidak terkesan.
Dari balik cahaya api jamung yang menerangi pelantar itu, susuk tubuh hitam itu memunculkan dirinya dalam keadaan tersenyum sinis memandang mereka berdua.
“Vanblood! Kau masih hidup!” Ma’am Rosalind berpaling menghadap ke arah susuk tubuh yang kelihatan kekar itu.Wajahnya pucat.Lelaki itu sengaja mempamerkan gigi taringnya yang tajam meruncing.Matanya kemerahan.Kukunya setajam belati.Di bahagian belakang tubuhnya kelihatan seperti sayap yang terkatup rapat.Busur panah kemas berada di dalam genggaman tangannya.Athelia mengamati susuk tubuh itu.
“Master…Master Vanblood! Panggil nama penuh aku.” Lelaki itu berjalan menghampiri Athelia. Ma’am Rosalind itu menghalangi pergerakan Vanblood dari terus mendekati Athelia.Menyedari tindakan itu, Vanblood mengerling tajam ke arah Athelia dengan pandangan yang menyeramkan sambil menyembunyi nafasnya yang keghairahan apabila terhidu darah muda seperti Athelia.
“Jangan takut, Rosalind.Aku tak mengapa-apakan kalian.Aku hanya datang menziarah….sahabat lamaku.” Vanblood menyoroti pandangan ke arah Athelia tanpa henti. Dia tersenyum dengan senyuman yang menyeramkan.Ternyata Athelia berasa sedikit tergugat namun darah mudanya cepat panas. Dengan sepantas kilat, Athelia menarik busur panahnya lalu dilepaskan tepat ke arah dahi Vanblood namun tidak semudah yang disangka.Anak panah tebakan Athelia mudah ditangkap oleh Vanblood sebelum bilah besi panah Athelia terbenam ke dahi Vanblood.Hanya beberapa milimeter sahaja jaraknya untuk mencecah kulit Vanblood yang berwarna pucat itu.
“Wow…gadis itu sangat berani ya, Rosalind..Mmmmm…siapa namanya?Dia menarik minat aku.Anak murid kau ya?” Vanblood membisikkan bait kata itu pada Rosalind sambil anak matanya menyoroti pandangan ke arah Athelia namun kata-katanya dapat didengari oleh Athelia.Dia sendiri tidak menyangka bahawa Vanblood mampu menangkap tebakan panahnya walaupun dalam jarak yang sebegini dekat.Kelajuan tebakan panah darinya amat mustahil untuk dielak dalam jarak sedekat ini.
“Apa yang kau mahu, Vanblood?!” Ma’am Rosalind mengubah topik perbualannya dari menumpukan perhatiannya kepada Athelia.Dia faham benar sifat dan sikap ‘sahabat’ lamanya ini yang cukup pantang jika terjumpa mana-mana gadis yang berdahi licin.Habis ‘disapunya’.
“Kau tahu akan kedatangan aku kesini, Rosalind. Sekadar memberi amaran kepada kalian untuk berjaga-jaga dengan kemaraan bangsa Valkazar.” Sorotan pandangan mata Vanblood tidak terlepas dari mengintai peluang untuk mendekati Athelia yang kelihatan menarik minatnya.
“Apakah benar Valkazar sudah terlepas dari kurungannya?” Ma’am Rosalind mahu mendapatkan kepastian. Vanblood sekadar tertawa sinis.Dia dapat menghidu kegentaran bangsa Yaneko terhadap bangsa pemusnah itu.
“Jika aku katakan benar, adakah kau percaya pada aku?” Vanblood sekadar menguji.
“Bohong! Aku tidak percaya! Aku sendiri menyaksikan bagaimana bangsa keparat itu dikunci di dalam penjara itu.Mana mungkin mereka boleh terlepas. Dinding yang dibina oleh…” Sekilas pandangan mata sahaja Vanblood sudah berada di belakang Athelia.Tangan kanannya merangkul tubuh Athelia dan bilah kuku kirinya mencecah ke kulit leher Athelia.Mereka berdua kaget bukan kepalang. Pergerakannya terlalu pantas buat mereka.
“Kau benar-benar menguji aku.Kau benar-benar menarik perhatian aku.Kau menjadi sasaran aku.Jangan kau menambah maraknya api yang kian membara.Kelak kau akan binasa! Siapa yang kau panggil keparat tadi,haa?!” Vanblood memberi amaran keras kepada Athelia yang kini berada di dalam rangkulannya.Wajah Athelia berkeringat.Sebarang tindakan yang melulu bakal meragut nyawanya kini. Ma’am Rosalind mati kata.
“Aku tak mahu bunuh kau sekarang, perempuan.Aku teringin untuk melihat keupayaan kau di medan perang.Jadi, aku lepaskan kau sekarang.Jangan kau mati sebelum bertemu aku disamping Valkazar nanti.Aku menjadi seteru kau kemudian hari.” Ternyata Vanblood menyebelahi Valkazar sejak sekian lama.Mungkin benar bangsa itu terkurung di dalam sebuah penjara yang kekal dibina oleh Rayfall suatu ketika dahulu namun Vanblood masih bebas selama ini hanya mengintai peluang dan masa yang sesuai.
Rangkulan tubuh Athelia dilepaskan.Orak langkah dipacu pantas.Athelia cekap berkilas tubuh dan melepaskan anak panah tepat pada sasaran namun sekadar membelah angin.Batang tubuh Vanblood tidak berada dikedudukannya.
“Ingat, Rosalind! Ini amaran daripada aku! Jangan sekali-kali kau mencampuri urusan Valkazar untuk menakluki dunia ini dan dunia manusia.Jika tidak, kau hanya tinggal nama.” Ma’am Rosalind dan Athelia terkejut. Vanblood berada di belakang mereka.Ternyata musuhnya ini lebih tangkas dan pantas.Pergerakannya jauh lebih cepat dari bunyi.
“Aku tidak mahu kisah silam kembali berulang.Aku tidak mahu sejarah yang sama tercatat kisah yang sama.Kali ini, aku mahukan kejayaan dan kegemilangan aku bersama Valkazar dijulang melangit.Ingat! Aku sentiasa bersama mereka yang menang dan terkuat sahaja.Bukan seperti bangsa-bangsa kalian.Lemah!” Vanblood menghilangkan diri dalam kegelapan malam dalam sekelip mata seusai sahaja bait katanya habis dilafazkan.
Ma’am Rosalind dan Athelia terdiam seribu bahasa.Kejadian malam ini mencatatkan keresahan yang teramat mendalam di dalam sanubari masing-masing.Amaran ini tidak boleh diendahkan. Mereka berdua perlu berbuat sesuatu.Sekurang-kurangnya persediaan yang mencukupi bagi melibatkan diri di dalam kancah peperangan yang bakal meletus tidak lama sahaja lagi.Sebarang kemungkinan boleh berlaku jika tidak diperincikan dengan baik.
112Please respect copyright.PENANAts93eZOPHM
>>Bersambung Server 56
ns 15.158.61.17da2